Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Hasrat ketua sindiket dadah tunai umrah tak kesampaian
Diterbitkan:  Sep 10, 2019 6:12 PM
Dikemaskini: 10:12 AM

Hasrat seorang ketua sindiket pengedaran dadah untuk mengerjakan umrah tidak kesampaian apabila dia ditahan polis Khamis lalu.

Dia ditahan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan (IPK) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul dua petang, sebelum sempat menaiki penerbangan ke Makkah.

Menurut Sinar Harian hari ini, lelaki berusia 37 tahun itu dipercayai individu di belakang sindiket dadah terbesar di Kelantan dan mula giat sejak setahun lalu.

Menurut Pengarah JSJN Bukit Aman, Mohd Khalil Kader Mohd, tiga ahli sindiket turut ditahan pada hari sama di Jalan Lubuk Kiat, Kubang Kuar di Pasir Mas, Kelantan.

Polis telah membuat risikan terhadap sindiket itu sejak April lalu, katanya.

Dalam serbuan pada pukul 12 tengah hari itu, katanya, polis menyerbu sebuah kereta Perodua Myvi dan menemui 700,000 pil kuda dianggarkan seberat 77.61 kilogram (kg) bernilai RM10.5 juta.

"Polis turut merampas tujuh kenderaan termasuk tiga motosikal, wang tunai dan barangan kemas bernilai RM476,000. Nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM10.97 juta," katanya seperti dipetik.

Mohd Khalil berkata, sindiket itu dipercayai baru menerima bekalan dari negara jiran dan akan dijual secara pukal dan runcit.

Kesemua suspek ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS