Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Khalil letak harapan pada Mahathir
Diterbitkan:  Sep 8, 2019 10:06 AM
Dikemaskini: 2:06 AM

Anggota Jawatankuasa Pusat PAS meletakkan harapan agar Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad meneruskan agenda pernah diasaskan bekas pemimpin Turki untuk mengukuhkan pengaruh negara Islam di dunia.

Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata gagasan Mahathir untuk menjalin hubungan erat di antara Turki, Pakistan dan Malaysia bagi menjadi suara negara Islam baru-baru ini menyamai idea Necmettin Erbakan.

Untuk rekod Erbakan ialah pemimpin parti Islam yang pernah menjadi perdana menteri Turki pada 1996 hingga 1997.

Menurut Muhammad Khalil walaupun Mahathir hanya menyebutkan tiga negara, beliau percaya jika pemimpin PH itu mampu membangkitkan semula agenda D8 yang mempelopori kerjasama ekonomi dan perdagangan dalam kalangan dunia Islam, ia mampu menjadi pemangkin serta contoh kepada negara Islam yang lain.

"Walaupun dengan ketiadaan almarhum Necmettin Erbakan, adalah dipercayai kerjasama ini mampu diteruskan dengan jayanya.

"Saya juga percaya jika Mahathir mengambil inisiatif untuk menghidup semula dan menerajui agenda kerjasama D8 ini, beliau mampu membawa perubahan, meningkatkan jumlah pelaburan serta kedudukan ekonomi di kalangan negara anggota," katanya dalam satu kenyataan semalam.

D8 ialah pertubuhan kerjasama ekonomi membabitkan lapan negara membangun iaitu Bangladesh, Mesir, Nigeria, Indonesia, Iran, Malaysia, Pakistan, dan Turkey.

Ia diilhamkan oleh Erbakan pada 1996.

Muhammad Khalil berkata dengan menjadikan Malaysia, Turki dan Pakistan sebagai pelopor kerjasama berkenaan, anak presiden PAS itu percaya ia akan membawa hasil yang lumayan serta memberi manfaat kepada dunia Islam secara keseluruhan.

Ketiga-tiga negara, katanya, boleh memberi nafas baru kepada D8.

"Dunia Islam perlu berubah untuk mengembalikan kegemilangannya sama ada dari sudut pengaruh, strategi, ekonomi mahupun penguasaan geopolitik dunia.

"Perubahan dari zaman gelap ke zaman kegemilangan serta kekuasaan adalah perlu untuk menolak dogma dan persepsi bahawa dunia Islam sudah tidak bermaya dan terlalu lemah.

"Kerjasama erat terutamanya dari sudut ekonomi mahupun perdagangan dalam kalangan dunia Islam adalah amat wajar memandangkan ia jauh ketinggalan dari sudut ekonomi mahupun pembangunan," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS