Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita

Majlis ibadah dan solat bersama pendakwah Dr Zakir Naik di Masjid Krubong, Melaka malam ini menarik kehadiran ribuan jemaah.

Ketibaan Zakir Naik diumumkan selepas Azan Maghrib, kira-kira jam 7.20 malam, ketika jemaah mendirikan solat sunat.

Ketibaannya bersama pengerusi masjid itu, Mohd Rafiq Naizamohideen menyebabkan jemaah mengerumuni laluan karpet putih di masjid itu, sehingga Zakir terpaksa dikawal ketat oleh pengiringnya.

Sebaik tiba di saf paling depan bahagian mimbar masjid, Zakir mengimami kira-kira 2,000 jemaah menunaikan solat Maghrib.

Selesai solat, majlis diteruskan dengan bacaan Yasin dan tahlil, diketuai Mufti Melaka, Abdul Halim Tawil, yang selesai jam 8.25 malam, sebelum azan Isyak dikumandangkan.

Zakir Naik sekali lagi mengimami solat fardu Isyak. 

Sepanjang majlis berlangsung, Zakir Naik patuh pada larangan ceramah yang dikenakan terhadapnya.

Sementara itu, Mohd Rafiq yang juga Anggota MT Bersatu berkata rakyat bukan Islam tidak perlu berasa terancam dengan perpaduan yang ditunjukkan umat Islam bagi menyokong pendakwah kontroversi itu.

Jelasnya, lebih-lebih lagi Zakir Naik telah meminta maaf kepada seluruh rakyat Malaysia atas "kelemahan komunikasinya" baru-baru ini.

"Mungkin beliau ada sedikit kelemahan dari segi komunikasi tempoh hari. Tetapi beliau telah memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia.

"Saya harap kita terus bersatu. Kalau kita kuat, kita akan dihormati.

"Kepada rakan-rakan bukan Islam, janganlah rasa terancam dengan perpaduan umat Islam, ia tak akan menjejaskan sama sekali perpaduan nasional yang ingin kita capai antara berbilang kaum," katanya.

Rafiq yang juga exco kerajaan negeri berkata demikian ketika berucap di Masjid Cina Krubong, Melaka selepas selesai solat Isyak pada majlis yang diberi nama "Malam Islam bersatu bersama Dr Zakir Naik."

Rafiq dipercayai merujuk kontroversi susulan kenyataan Zakir Naik terhadap penganut Hindu dan kaum Cina di Malaysia semasa satu ceramah di Kelantan pada 3 Ogos.

Pada 19 Ogos lalu dilaporkan Ketua Menteri Melaka Adly Zahari berkata kerajaan negeri tidak akan membenarkan Zakir berceramah di negeri itu.

Bagaimanapun, Ketua Polis Negeri, Raja Shahrom Raja Abdullah pada 2 September lalu memaklumkan tidak mempunyai halangan terhadap majlis malam ini kerana ia hanya melibatkan solat sunat dan tidak melibatkan ceramah oleh pendakwah dari India itu.

Keesokan harinya, Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin berkata kerajaan juga tidak akan menghalang pendakwah kontroversi, Dr Zakir Naik daripada menghadiri sebarang majlis keagamaan.

Doa sekatan Zakir berceramah ditarik balik

Sementara itu, Rafiq menyeru umat Islam berdoa agar sekatan yang dikenakan terhadap Zakir Naik ditarik secepat mungkin.

"Kita doa supaya sekatan ke atas beliau ditarik secepat mungkin.

"Dr Zakir Naik janji pada saya, sebaik sekatan ditarik untuk berceramah, dia akan datang lagi ke Melaka yang tercinta," katanya bersambut tepukan gemuruh daripada jemaah.

Rafiq turut meminta supaya kehadiran beberapa pemimpin Umno dan PAS pada majlis itu tidak dipolitikkan.

"Takut-takut ada orang cadang saya pergi Lembaga Disiplin (Bersatu)," katanya lagi.

Majlis itu turut dihadiri pemimpin kedua parti pembangkang itu, antaranya wakil rakyat Umno, Adun Serkam Zaidi Attan dan Adun Merlimau Roslan Ahmad serta Pesuruhjaya PAS Melaka, Kamaruddin Sidek.

Selain itu, ketika Zakir Naik bergerak keluar dari masjid, berlaku sedikit kekecohan apabila jemaah cuba mengerumuni pendakwah tersebut. 

Bagaimanapun keadaan kembali terkawal tidak berapa lama kemudian. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS