Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
MB Johor arah JAS siasat kematian ikan di Pantai Lido
Diterbitkan:  Sep 7, 2019 6:52 PM
Dikemaskini: 10:52 AM

Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri dan Jabatan Perikanan negeri telah diarah untuk menyiasat punca kematian ikan di Pantai Lido dan tali air berdekatan Hospital Sultanah Aminah (HSA), di Johor Bahru, baru-baru ini.

Menteri Besar Johor Dr Sahruddin Jamal berkata JAS dan Jabatan Perikanan seharusnya bertindak proaktif dan memberi maklum balas mengenai penemuan ikan-ikan mati itu kepada kerajaan negeri.

Katanya, penemuan di tali air berdekatan HSA itu merupakan kali kedua berlaku setelah penemuan pertama pada 28 Ogos di Pantai Lido.

“Saya telah mengarahkan JAS dan Jabatan Perikanan Malaysia untuk menyiasat apa punca sebenar sehingga kandungan oksigen di dalam air berkurangan, menyebabkan ikan-ikan itu mati.

“Kerana ini kejadian kedua, sepatutnya mereka proaktif memberi maklum balas dan memberitahu kepada kerajaan negeri sebetulnya apakah punca sebenar. 

"Jadi tidak mengapa, saya tunggu laporan daripada mereka,” katanya kepada pemberita di Dewan Serbaguna Kundang Ulu, di Muar hari ini.

Ketika ditanya mengenai projek pembangunan dan penambakan di kawasan sekitar Pantai Lido yang berkemungkinan menjadi punca kepada kematian ikan berkenaan, Dr Sahruddin berkata beliau akan meminta JAS serta Jabatan Perancangan dan Bandar (PLAN Malaysia) untuk melihat semula dari segi penambahbaikan prosedur.

“Mungkin (perlu) ada penambahbaikan prosedur seperti Laporan Penilaian Impak Persekitaran (EIA), penambakan dan semua projek pembangunan di sekitar Pantai Lido,” katanya.

Terdahulu, Dr Sahruddin menghadiri Program Jalinan Ukhuwah Johor Corporation (JCorp) peringkat Dewan Undangan Negeri Kepong, di Tangkak hari ini, yang turut disertai Kelab Media Johor.

Dalam program berkenaan, beliau turut menyaksikan penyerahan 3,000 buku ilmiah di bawah program Books For Asia kepada wakil 100 buah sekolah di sekitar Johor.

Turut hadir, Presiden dan Ketua Eksekutif JCorp Kamaruzzaman Abu Kassim.

Semalam, tular satu video di laman sosial Facebook mengenai penemuan ikan-ikan yang mati di tali air berdekatan HSA.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar negeri, Tan Chen Choon kemudiannya menerusi satu kenyataan semalam berkata kematian ikan-ikan tersebut berkemungkinan disebabkan faktor cuaca dan gangguan sistem pengaliran daripada aktiviti penambakan di perairan Pantai Lido.

Beliau juga berkata dapatan awal mendapati bacaan in-situ air di lokasi mencatatkan paras oksigen terlarut terlalu rendah iaitu sekitar 1.2 part per million (ppm) sehingga menyebabkan kematian ikan-ikan tersebut.

Menurutnya, dapatan awal yang dilakukan itu juga tidak menemukan sebarang sumber industri yang boleh dikaitkan sebagai punca kejadian.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS