Paling Popular
Terkini

GLOBAL | Misi ke bulan India berakhir dengan kekecewaan selepas kapal angkasa yang sepatutnya mendarat di bulan terputus hubungan.

Andai misi kapal angkasa Chandrayaan-2 berjaya sekali gus menjadikan India negara keempat selepas Amerika Syarikat, Rusia dan China - berjaya mendarat di bulan.

Pendaratan kapal angkasa dikenali "Vikram" dijadual mendarat pada 1.53 pagi (waktu India), jutaan rakyat teruja untuk menyaksikan detik bersejarah itu yang disiarkan di televisyen.

Suasana suram menyelubungi pusat kawalan Organisasi Penyelidikan Angkasa India (ISRO) di Bengaluru.

Pendaratan adalah seperti dirancang dan prestasi berada pada keadaan normal sehingga ketinggian mencapai 2.1 kilometer dari permukaan bulan, kata pengerusi ISRO K. Sivan pada Sabtu.

Namun, komunikasi antara kapal angkasa dengan pusat kawalan terputus secara tiba-tiba dan data mengenainya sedang dianalisis, katanya.

Perdana Menteri Narendra Modi yang turut menyaksikan detik bersejarah itu berkata kepada petugas ISRO, usah merasa kecewa kerana "jatuh bangun dan kegagalan adalah lumrah kehidupan."

Modi berkata negara tetap berbangga dengan usaha ISRO dan "kita akan terus mencuba".

ISRO melancarkan kapal angkasa Chandrayaan-2 seberat 3.85 tan metrik itu pada 22 Julai melibatkan kos operasi US$ 140 juta.

Kapal angkasa itu membawa perayau "Pragyaan" seberat 27 kilogram yang akan dilancarkan untuk menjalankan penerokaan di bulan.

Pada April tahun ini, percubaan Israel untuk menempatkan kapal angkasa "Beresheet" di bulan berakhir dengan kemalangan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS