Gagal - itu yang boleh disimpulkan pada hajat sekumpulan NGO Islam mengadakan protes terhadap tindakan kerajaan Arab memberikan penghormatan kepada Perdana Menteri India, Narendra Modi, hari ini.
Asalnya kira-kira 20 penyokong gerakan itu - diketuai Presiden Ikatan Rakyat Muslim Malaysia (IRIMM) Amir Amsaa Alla Pitcay - berkumpul di depan Kedutaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Taman U Thant, Kuala Lumpur.
Bagaimanapun cubaan mereka menyerahkan memorandum bantahan itu tidak kesampaian apabila tiada mana-mana pegawai kedutaan mahu keluar untuk menerimanya.
Disebabkan itu, cadangan mereka untuk mengadakan protes kedua - di depan Kedutaan Arab Saudi di Jalan Ampang - pun dibatalkan. Sebaliknya, kata Amir Amsaa, peserta protes itu sekadar menunaikan solat Jumaat di Masjid Tabung Haji dan pulang selepas itu.
Terdahulu sejumlah 20 orang mengadakan bantahan di luar kedutaan UAE di Kuala Lumpur tengah hari tadi bagi menyuarakan bantahan terhadap layanan negara itu kepada Perdana Menteri India Narendra Modi.
Bantahan itu dibuat selepas UAE mengurniakan anugerah tertinggi awam negara itu, Order of Zayed, kepada Modi yang melawat negara terbabit ketika ketegangan berlaku di wilayah Jammu - Kashmir yang didiami majoriti umat Islam.
Wilayah itu terbahagi dua - masing-masing dikuasai India dan Pakistan - kesan peperangan di antara mereka sejak 1947.
Mengenai Arab Saudi pula, kumpulan terbabit mahu mendesak Riyadh agar bersuara di forum Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu serta Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) bagi memperjuangkan nasib rakyat Kashmir.
Terdahulu, wakil kumpulan itu cuba menyerahkan memorandum bantahan - yang menurut mereka disokong oleh 42 NGO Islam - kepada wakil UAE.
Bagaimanapun tiada wakil daripada pihak kedutaan keluar untuk bertemu mereka dan menerima memorandum tersebut.
Bercakap kepada Malaysiakini Amir Amsaa berkata pihaknya akan cuba sekali lagi menghantar memorandum bantahan tersebut pada minggu depan.