Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dr M: Melayu masih tak sedar, rela serah kerja pada bangsa asing
Diterbitkan:  Sep 6, 2019 12:23 PM
Dikemaskini: 4:59 AM

Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad menyifatkan orang Melayu masih lagi malas bekerja dan rela menyerahkan segala kerja kepada bangsa asing.

Melalui satu catatan terbaru di laman blog chedet.cc, Mahathir berkata keengganan orang Melayu bekerja mendorong jutaan rakyat asing membanjiri Malaysia untuk mendapatkan kerja.

"Jarak antara mereka dengan kaum lain yang bekerja kuat dan berniaga menjadi semakin luas. Yang berlaku ialah yang sudah kaya menjadi lebih kaya dan orang Melayu yang miskin menjadi lebih miskin. Ini sudah ditakdir. Tak perlu buat apa-apa.

"Sepatutnya orang Melayu sedar terhadap apa yang berlaku kepada mereka. Malangnya mereka tidak sedar. Sehingga sekarang pun orang Melayu masih tidak sedar. Mereka masih enggan bekerja.

"Orang Melayu masih rela serah segala kerja kepada orang asing. Dan orang asing pun membanjiri negara kita. Tujuh juta orang asing masih berada di sini sekarang ini. Mereka bekerja. Apakah akan terjadi kepada orang Melayu," tulis beliau, hari ini.

Jelasnya, apa yang berlaku terhadap bangsa Melayu sebelum ini akan terus terjadi kerana orang Melayu tidak mahu berubah dan terus ketinggalan.

Tambah Mahathir lagi, ada yang mendakwa bahawa orang Melayu adalah tuan di negara ini.

"Tuan apa? Orang miskin, orang yang tidak ada kebolehan, orang yang bergantung kepada belas kasihan orang lain, tuankah," soal Mahathir.

Dalam pada itu, Mahathir berkata nasib orang Melayu ditentukan oleh mereka sendiri dan memarahi orang lain tidak akan menyelesaikan masalah.

Walaupun bilangan orang Melayu dikatakan bertambah, namun jumlah besar orang yang miskin tidak dapat bersaing dengan jumlah kecil orang yang kaya.

Sejak pemerintahan British lagi kata Mahathir orang Melayu tidak gemar untuk melakukan kerja berat serta berniaga melainkan bekerja dengan kerajaan sebagai kerani.

"British membuka ladang-ladang getah dan lombong bijih timah. Yang anehnya tidak ada orang Melayu yang bekerja dalam ladang dan lombong ini. Pekerja terdiri dari orang India dan Cina. Perniagaan kedai runcit dan aneka jenis tukang-tukang semuanya terdiri dari orang Cina.

"Dimanakah orang Melayu? Mereka bekerja dalam sawah padi mereka, dan ada sedikit yang menjadi nelayan. Sebilangan kecil dari mereka bekerja dengan kerajaan sebagai kerani.

"Lebih kecil lagi ialah bilangan mereka yang memegang jawatan tinggi dalam kerajaan. Mereka ini semua berbangga kerana dibayar gaji tetap dan pencen," katanya lagi.

Jelas Mahathir yang tidak terdapat ialah orang Melayu yang berniaga atau bekerja sebagai buruh kasar kerana orang Melayu memandang hina bidang berkenaan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS