Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Jho Low bak pengadil bola, pengurus pasukan, pembina stadium - Saksi

KES 1MDB | Amhari Efendi Nazaruddin, bekas pegawai khas Najib Abdul Razak  hari ini berkata ahli perniagaan Low Taek Jho berkeupayaan untuk meletakkan orang-orangnya di pelbagai peringkat untuk memastikan tujuannya dapat dicapai.

Saksi kelapan kes rasuah 1MDB melibatkan bekas perdana menteri
ketika memberi keterangan di mahkamah berkata Low boleh diibaratkan sebagai seorang pengadil yang mempunyai hubungan dengan pelbagai pihak dalam sebuah perlawanan bola sepak.

"Kalau ada permainan bola sepak, saya mungkin ditugas jumpa pengadil, tapi saya tahu tipu, dia (pengadil) kenal manager (pengurus) pasukan team A dan team B pun, penyokong, orang (yang) buat stadium pun dia kenal," katanya.

Amhari disoal ketika pemeriksaan balas oleh peguam bela utama Muhammad Shafee Abdullah, yang meminta saksi itu menjelaskan dakwaannya bahawa Low ialah "master manipulator" (dalang) kerana ia adalah tuduhan yang serius.

Shafee: Asasnya, dia seorang puppet master (dalang)? Dia boleh gerak apa sahaja dia nak?

Amhari: Saya setuju dengan itu.

Shafee: Dia melakukan ini dengan kerap tanpa etika, selagi dia mencapai apa yang dia mahu?

Amhari: Dia dapat apa yang dia nak, kalau bukan melalui cara pertama, dia akan dapat dengan cara lain. Sama ada ia beretika atau tidak saya tidak boleh komen

Ditanya untuk memberi contoh yang lebih jelas, Amhari berkata Najib telah menugaskannya untuk pergi berjumpa individu penting di Abu Dhabi dan China untuk berurus dengan hutang 1MDB.

Bagaimanapun, Amhari berkata sebaik ketibaannya, dia mendapatisegala-galanya telah pun dirancang dan disusunkan oleh Low sejak awal lagi.

"Sebagai contoh, katakan rundingan untuk Syarikat Pelaburan Petroleum Antarabangsa (IPIC), untuk saya berjumpa (ketua pegawai eksekutif Mudabala) Khaldoon Al Mubarak (di Abu Dhabi), saya tidak tahu hujung pangkalnya...

"...dan kemudian saya perlu ke China, tidak tahu hujung pangkalnya.

"Dan bila sampai ke kedua-dua negara, semua sudah tersusun agendanya.

"Dan jika saya mungkin berbeza pendapat, ada saja mungkin orang lain akan mengingatkan saya supaya untuk teruskan agenda tersebut kerana dia dah ada orang di pelbagai tempat," katanya.

Amhari dalam keterangannya juga beranggapan Low rapat dengan Najib memandangkan dia pernah melihat ahli perniagaan itu pergi ke rumah perdana menteri untuk memberi taklimat.

"Saya lihat beliau (Low) lebih kerap daripada orang lain masuk dan keluar dari rumah Najib," katanya sambil menambah bahawa mesyuarat biasanya dilakukan di rumah perdana menteri di Jalan Langgak Duta.

Semalam Amhari memberi keterangan dia dan bekas bosnya, allahyarham Azlin Alias bertindak di bawah arahan Low tetapi mereka percaya ia mendapat restu Najib.

Perbicaraan jenayah bekas perdana menteri Najib Razak melibatkan dakwaan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram dana 1MDB akan bermula hari ini di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Najib menghadapi empat pertuduhan rasuah menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Perbicaraan ini berlangsung di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Collin Lawrence Sequerah.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS