Keberadaan pendakwah kontroversi, Dr Zakir Naik, di Malaysia dibangkitkan dalam pertemuan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dengan rakan sejawatnya dari India Narendra Modi di Russia hari ini.
Menurut laporan Hindustan Times, Modi meminta Mahathir supaya mengambil langkah untuk mengekstradisi pendakwah berkelahiran India itu yang dikehendaki New Delhi atas dakwaan menghasut keganasan dan pengubahan wang haram.
"Kedua-dua pihak membuat keputusan bahawa pegawai kami akan terus berhubung mengenai perkara itu dan ia adalah isu penting bagi kami, " kata Setiausaha Luar India, Vijay Gokhale.
Pertemuan Mahathir dan Modi berlangsung di Vladivostok, Russia, ketika di Sidang Kemuncak Ekonomi Timur (EES) berlangsung.
Pertemuan Mahathir - Modi itu adalah yang kedua selepas kali pertama pada 31 Mei lalu di Putrajaya.
Zakir mendakwa tuduhan ke atasnya adalah rekaan semata-mata, kini mempunyai status pemastautin tetap (PR) di Malaysia.
Masyarakat Muslim di Malaysia telah berkali-kali mendesak Mahathir supaya tidak menghantar pulang pendakwah tersebut kerana takut mungkin tertakluk kepada penganiayaan - dakwaan yang dinafikan oleh New Delhi.
Bulan lalu Zakir berdepan kritikan ekoran memberi kenyataan mengenai penganut Hindu dan kaum Cina di Malaysia ketika berceramah di Kelantan.
Zakir kemudian mendakwa kenyataannya diambil di luar konteks namun membuat permohonan maaf tidak lama seleaps itu. Pada masa sama pihak berkuasa melarang Zakir mengadakan sebarang ceramah melalui mana-mana wadah.
Selasa lalu, bekas menteri kanan, Dr Rais Yatim, yang juga pengerusi Bersatu Negeri Sembilan mempersoal status pemastautin tetap Zakir di negara ini.
Beberapa anggota kabinet Mahathir dan pemimpin PH juga pernah menggesa kerajaan supaya menghantar Zakir kembali ke India.