Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pakaian atlet 'patuh syariah': Syed Saddiq akan jumpa exco T'ganu
Diterbitkan:  Sep 3, 2019 9:53 PM
Dikemaskini: 1:53 PM

Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata beliau akan berbincang dengan Exco Terengganu Wan Sukairi Wan Abdullah berhubung langkah kerajaan negeri itu yang sedang merangka garis panduan pemakaian patuh syariah bagi atlet.

"Kami akan melihat perkara ini dan saya sendiri perlu bercakap dengan Exco untuk mendapatkan gambaran penuh.

"Saya pernah bercakap dengannya sebelum ini ketika ada berita tentang perkara ini dan beliau memberi komitmen bahawa beliau akan 'menasihat' dan bukan 'memaksa'," katanya kepada pemberita di WhatsApp hari ini.

Katanya lagi, pendiriannya jelas bahawa golongan atlet ialah wira negara "tanpa mengira apa yang dipakai mereka".

"Mereka telah banyak berkorban untuk Malaysia," katanya lagi.

Laporan Bernama hari ini memetik Wan Sukairi - exco pembangunan belia, sukan dan NGO Terengganu - bahawa garis panduan itu sedang dirangka dan pandangan semua pihak termasuk persatuan sukan, ahli akademik dan mufti akan diambil.

"Apabila kita dah dapat sediakan pakaian yang betul-betul patuh syariah, barulah kita akan wajibkan mereka pakai mengikut peraturan yang bakal kita kuatkuasakan nanti," katanya seperti dipetik.

Menurut laporan itu lagi, Wan Sukairi berkata kerajaan negeri terpaksa menarik diri daripada beberapa jenis sukan seperti gimrama dan gimnastik wanita yang menurutnya bercanggah dengan syariat Islam.

"Sukan ini (gimnastik dan gimrama) kita tidak boleh kompromi kerana ia menonjolkan aksi mengghairahkan kecuali jika hanya untuk tontonan wanita baharulah dibolehkan. Bagaimanapun, ia pastinya bercanggah dengan peraturan yang ditetapkan badan induk antarabangsa," katanya lagi.

Beliau juga berkata kerajaan negeri mengalu-alukan mana-mana pereka fesyen yang ingin menyumbang idea untuk pakaian sukan patuh syariah.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS