PAS menegaskan kempen yang mengajak pengguna mengutamakan barangan muslim adalah tindakan inklusif dan kompetitif dalam konteks perniagaan serta perlu dilihat secara positif.
Setiausaha agungnya, Takiyuddin Hassan berkata kajian menunjukkan kempen sokong produk muslim akan membawa kesan positif kepada limpahan ekonomi yang lebih luas.
"Ia pastinya akan banyak membantu usahawan IKS (industri kecil dan sederhana) dan luar bandar serta menjadikannya lebih berdaya saing.
"Di samping itu ia akan memberikan banyak peluang pekerjaan kepada rakyat terutama golongan belia yang kini ramai tidak berpekerjaan.
"Ia juga membawa kepada kitaran ekonomi ummah (termasuk bukan Islam) yang lebih progresif umpamanya dalam hal zakat, sedekah, waqaf dan seumpamanya," katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Anggota Parlimen Kota Bharu itu berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berhubung isu tersebut.
Terdahulu media melaporkan Lim menggesa Umno dan PAS mengecam kempen memboikot perniagaan bukan bumiputera.
Setiausaha Agung DAP itu berkata demikian selepas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menyifatkan boikot berkenaan tidak berkesan dan hanya akan menyebabkan kemarahan.
Sementara itu Takiyuddin berkata, kefahaman Lim mengenai isu "boikot barangan bukan bumiputera" tersebut adalah kurang tepat.
"Bagi PAS kempen 'beli produk muslim dulu' adalah suatu tindakan yang inklusif dan kompetitif dalam konteks perniagaan dan harus dilihat secara positif," katanya sekali gus menggesa pihak kerajaan turut membantu menjayakan langkah itu.
PAS tak lancarkan kempen boikot
Dalam perkembangan sama Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, parti itu menyifatkan Lim yang juga menteri kewangan sebagai "memainkan sentimen perkauman sempit".
Menurutnya, kempen utamakan produk muslim adalah kesedaran awal para pengguna Muslim untuk memilih produk yang halal, baik dan diusahakan oleh orang Islam.
"Setakat hari ini, tidak ada satu kempen boikot produk bukan Islam yang dilancarkan oleh PAS. Setiap pengguna mempunyai kecenderungan untuk memilih yang terbaik untuk diri mereka.
"Tidak ada satu paksaan. Lantaran itu, mereka lebih berhati-hati dan bersifat selektif untuk mendapatkan produk yang terbaik," jelasnya.
Sementara itu, tambah anggota Parlimen Kubang Kerian itu, PAS juga menggesa kerajaan untuk memantau dan menyekat lambakan produk yang mengelirukan pengguna seperti menggunakan nama, gambar produk dan logo mirip Islam tetapi dihasilkan oleh bukan Islam, penipuan logo halal serta pengeksploitasian wanita dan kanak-kanak dalam pengiklanan.
"Pihak kerajaan hendaklah lebih memfokuskan kepada aktiviti tidak bermoral dalam perniagaan seperti penipuan, monopoli, permainan harga dan ‘black economy’.
"Hal ini lebih serius dan boleh meranapkan pasaran sehingga memberi kesan besar ke atas pengguna. Tambahan pula, harga barang secara umumnya tidak menunjukkan penurunan walaupun setelah SST diperkenalkan," kata Tuan Ibrahim.