Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kertas kabinet subsidi petrol dibentang dalam masa terdekat

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Saifuddin Nasution Ismail akan membentangkan kertas kabinet berhubung pelaksanaan subsidi petrol bersasar untuk RON95 secepat mungkin.

"Ia berjalan mengikut jadual. Saya tinggal membentangkan kepada jemaah menteri saja, kertas jemaah menteri pun telah kita sempurnakan, dalam tempoh yang terdekat apabila kita sudah bentang dalam mesyuarat, saya akan susuli dengan pengumumannya.

"Ini merupakan satu polisi baru, kita belum ada pengalaman melaksanakannya, sudah tentu jemaah menteri mungkin ada beberapa pandangan yang mesti saya hormati," katanya pada sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

"Beberapa minggu sebelum ini, saya sudah maklumkan media bahawa kita sedang perhalusi beberapa aspek, termasuk mekanisme pelaksanaan dan data penerima. Kita sudah lengkapkan perkara itu," tambahnya.

Pada 20 Ogos lalu, Saifuddin dilapor berkata bahawa subsidi petrol akan diumumkan dalam tempoh dua minggu.

Difahamkan bahawa subsidi petrol bersasar untuk RON95 akan diputuskan pada penghujung 2019.

Subsidi petrol diumumkan di bawah Belanjawan 2019 pada Nov tahun lalu, dengan pengguna kereta di bawah 1,500cc dan motosikal di bawah 125cc akan menerima subsidi petrol RON95 pada kadar 30 sen seliter.

Kerajaan sebelum ini merancang untuk melaksanakannya pada suku kedua tahun ini.

Sebelum ini, Saifuddin berkata kerajaan akan memutuskan sama ada subsidi itu akan diagihkan melalui akaun bank penerima atau menggunakan kad petrol.

Malay Mail memetik sumber sebagai berkata bahawa pada Jun lalu, kerajaan memutuskan untuk mengagihkan subsidi berkenaan melalui akaun bank penerima.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS