Polis Melaka tidak mempunyai halangan terhadap program bersama pendakwah kontroversi, Dr Zakir Naik yang dijadualkan berlangsung pada 7 September nanti di Masjid Cina Krubong, Melaka.
Ketua Polis Negeri, Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, ini kerana program tersebut hanya melibatkan solat sunat dan tidak melibatkan ceramah oleh pendakwah dari India itu.
"Setakat ini kita tiada halangan, sebab program itu tidak melibatkan sebarang ceramah. Kalau ceramah memang tidak dibenarkan.
"Kalau sekadar untuk program solat sunat (hajat) kita tiada halangan," katanya ketika dihubungi Malaysiakini, hari ini.
Terdahulu poster program yang dinamakan "Malam Islam Bersatu" tersebar di media sosial dan menjadi persoalan susulan kontroversi melibatkan Zakir sebelum ini.
Poster tersebut memaparkan gambar Zakir dan Pengerusi Masjid Cina Melaka, Mohd Rafiq Naizamohideen yang juga merupakan exco Perindustrian, Perdagangan dan Pelaburan negeri Melaka serta ahli majlis tertinggi Bersatu.
Penganjuran program itu sebelum ini dipertikai oleh Adun Keroh, Kerk Chee Yee yang menggesa semua pihak di Melaka mengikuti semangat daripada keputusan ketua menteri untuk mengharamkan ceramah oleh Zakir.
Kerk yang juga exco komunikasi, multimedia, NGO, pembangunan belia dan sukan berkata walaupun Zakir tidak berceramah pada majlis itu, beliau merupakan individu yang menimbulkan kontroversi antara masyarakat Malaysia.
Malaysiakini sedang mendapatkan reaksi daripada Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari berhubung isu ini.