Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis terima analisis klip video seks pakar forensik UK
Diterbitkan:  Sep 2, 2019 11:58 AM
Dikemaskini: 3:58 AM

Polis menerima laporan analisis video oleh pakar forensik UK, Verden Forensics daripada Ahli Majlis Tertinggi Umno Lokman Noor Adam berhubung klip video seks yang didakwa melibatkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali.

"Laporan ini telah dihantar ke Cybersecurity Malaysia untuk diteliti," kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Huzir Mohamed dalam kenyataan media hari ini.

Huzir juga memaklumkan bahawa Lokman akan dipanggil semula untuk rakaman percakapan lanjut Selasa ini.

"Isu video di WhatsApp Group 'Jemputan Raya Azmin' yang tular di laman sosial ini disiasat di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan, Seksyen 292 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"Kertas siasatan ke atas kes ini telah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara dan beberapa arahan lanjut telah diterima," tambah Huzir.

Julai lalu, Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador berkata Cybersecurity Malaysia mendapati bahawa meskipun klip video itu tulen, proses pengecaman wajah gagal mengaitkan dua individu yang dipaparkan melakukan aksi seks sejenis dalam klip video berkenaan.

Susulan itu, Lokman mendakwa pakar forensik di Indonesia yang diupahnya menggunakan kaedah Error Level Analysis (ELA) menerusi frame, imej dan tampered detection.

Menurut Lokman, kaedah itu jelas menonjolkan muka individu di dalam video dilihat jelas apabila dipadankan dengan gambar Mohamed Azmin dan bekas ketua PKR Santubong Haziq Abdullah Abdul Aziz.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS