Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
DAP bukan ada duit nak biaya Amanah - Mat Sabu
Diterbitkan:  Sep 1, 2019 5:00 PM
Dikemaskini: 9:10 AM

Presiden Amanah Mohamad Sabu berkata DAP tidak mempunyai dana kewangan besar sehingga mampu membiayai partinya, sebagaimana dakwaan sesetengah pihak.

"DAP bukan ada duit. Mereka pun cari duit dengan kutipan makan malam," katanya dalam wawancara bersama akhbar Mingguan Malaysia hari ini.

Menurut Mohamad yang juga menteri pertahanan, dakwaan Amanah mendapat duit DAP itu muncul daripada tanggapan pihak yang memerlukan dana untuk menggerakkan kegiatan parti politik.

"Ini semua persepsi orang, mereka (yang) menjalankan kerja politik dengan duit.

"Jadi mereka beranggapan kami (Amanah) pun macam itu," katanya tanpa menjelaskan butiran terperinci pihak yang dimaksudkannya itu.

Pernah tidur stesen kereta api

Bercerita pengalamannya bersama Amanah ketika menjadi pembangkang, Mohamad berkata beliau tidak memerlukan wang yang banyak untuk menggerakkan kegiatan parti itu.

"Saya ketika berjuang bersama Amanah saya boleh tidur di surau, boleh tidur di stesen kereta api, boleh naik bas, kereta api dan kapal terbang.

"Kawan-kawan bagi RM50 dan RM100 sudah cukup duit untuk bergerak, tidak perlu wang berjuta. Kita tiada masalah (perlu dana untuk buat kerja) sebab kita dilatih sebegitu," katanya.

Wawancara para pengarang kanan akhbar Utusan Malaysia bersama Mohamad hari ini juga turut menyentuh pelbagai isu, antaranya isu-isu pertahanan, kebajikan anggota tentera dan politik.

Menjawab soalah wartawan, menteri pertahanan turut memberikan pendapatnya terhadap akhbar itu, berkata: "Utusan saya yakin boleh pulih semula kalau menjadi suara rakyat."

Mohamad berkata sejarah akhbar itu pada zaman sebelum dan selepas merdeka memang "membawa aspirasi Melayu" sehinggalah Umno mengambil alih Utusan Melayu pada 1961 di bawah pimpinan ketua pengarangnya Said Zahari.

"Kalaupun rintihan pembangkang yang dianggap betul dan perlu disiarkan, kita siarkan. Daripada kerajaan pun kalau tidak betul, kita perlu kata tidak betul.

"Macam dahulu apabila (bekas timbalan presiden PAS) Prof Zulkiflee Muhammad ataupun (bekas presiden PAS) Dr Burhanuddin Hilmy berucap, esoknya Utusan akan siar di muka hadapan biar pun dia pembangkang," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS