Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hishammuddin nafi disiasat lembaga disiplin Umno
  • KEMAS KINI: Beberapa pemimpin atasan Umno menafikan dakwaan yang mengatakan Hishammuddin sedang disiasat.

Timbul pertikaian berhubung sama ada bekas Naib Presiden Umno Hishammuddin Hussein sedang disiasat lembaga disiplin Umno.

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Disiplin Umno, Mohamed Apandi Ali mengesahkan kepada Malaysiakini bahawa pihaknya sedang menyiasat ahli parlimen Sembrong itu.

Bagaimanapun, Hishammuddin dan beberapa pimpinan Umno menafikan perkara itu.

"Tak betul. Saya tak pasti apa yang mereka katakan," kata Hishammuddin dipetik FMT.

Mohamed Apandi sebelum ini berkata siasatan itu sedang berlangsung dan belum ada sebarang cadangan atau syor dibuat badan tersebut kepada Umno.

"Setakat hari ini belum dibuat apa-apa syor. Selepas selesai siasatan baru kita akan buat syor, jika difikirkan perlu," katanya kepada Malaysiakini.

Setiausaha Agung Umno Annuar Musa dalam kenyataan di Twitter berkata pengurusan Umno tidak menerima sebarang aduan berhubung perkara itu.

"Lembaga disiplin badan bebas (untuk menyiasat). Kalau ada prima facie, majlis kepimpinan tertinggi akan diberitahu. Setakat ini tak ada apa pun," katanya.

Bagaimanapun, Apandi dilapor mempertahankan kenyataannya dan berkata belum ada tindakan yang diambil terhadap Hishammuddin.

Ditanya sama ada Hishammuddin maklum tentang siasatan itu, Apandi dipetik FMT sebagai berkata: "Itu perlu tanya dia (Hishammuddin)".

Hishammuddin ialah salah seorang naib presiden kanan Umno dan di bawah pentadbiran sepupunya, Najib Razak, beliau diberikan amanah sebagai menteri pertahanan.

Ekoran kekalahan BN kepada PH pada PRU ke-14 lalu, Hishammuddin tidak mempertahankan jawatannya dan dilihat agak lunak kepada kerajaan berbanding pemimpin lain dalam pakatan pembangkang.

Beliau juga baru-baru ini menarik perhatian ramai apabila mengadakan pertemuan dengan Dr Mahathir Mohamad. Bagaimanapun Hishammuddin menjelaskan pertemuan dengan perdana menteri adalah perkara biasa.

Tak dipengaruhi sesiapa

Hishammuddin juga dikaitkan sebagai antara individu yang berusaha menarik wakil rakyat Umno untuk menyertai Bersatu. Hal itu bagaimanapun dinafikan anggota Parlimen Sembrong terbabit.

Pada 24 Julai lalu, Umno membuat ketetapan bahawa hanya presiden saja diberikan mandat mewakili parti sekiranya mahu mengadakan sebarang rundingan dengan mana-mana pihak berhubung kerjasama politik.

Presiden Umno, Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, tidak ada mana-mana tokoh atau individu lain yang diberikan mandat untuk tujuan tersebut.


Baca Hisham sedih jadi mangsa fitnah ahli Umno


Sehubungan itu juga, beliau menegaskan, Umno membuat keputusan bahawa sebarang perbincangan mesti mematuhi apa yang telah dimuktamadkan oleh majlis tertinggi parti.

Dalam pada itu, Mohamed Apandi juga ditanya mengenai khabar angin bahawa jawatankuasa disiplin mendapati tindakan boleh dikenakan terhadap Hishammuddin tetapi ditolak oleh pucuk pimpinan Umno.

Mohamed Apandi bagaimanapun menafikannya.

"Maklumat itu tidak betul. Siasatan masih berjalan dan lembaga disiplin adalah suatu badan bebas yang tidak tertakluk kpd mana mana arahan pucuk pimpinan parti.

"Kami bebas daripada sebarang pengaruh atau tekanan," katanya lagi.

Mohamed Apandi bagaimanapun tidak menjelaskan lebih lanjut kes siasatan yang dijalankan terhadap Hishammuddin.

Bagaimanapun, Malaysiakini difahamkan beliau disiasat ekoran beberapa tindakannya yang melanggar peraturan parti termasuk mengadakan pertemuan dengan Dr Mahathir.

Dalam kenyataan di Twitter, Annuar menegaskan bahawa Hishammuddin berjumpa dengan Dr Mahathir atas kapasiti peribadi.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS