Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menggesa kerajaan supaya program-program pembasmian kemiskinan perlu berasaskan hak asasi manusia menggantikan kaedah pengiraan kadar kemiskinan yang sedia ada
Katanya, program-program berasaskan hak asasi manusia juga seharusnya memberi penekanan terhadap penjagaan kesihatan, peluang pekerjaan, pendidikan yang berkualiti, pertumbuhan inklusif dan merapatkan jurang pendapatan, dan bukan sahaja langkah-langkah bagi menangani kemiskinan semata-mata.
"Suhakam maklum bahawa pengiraan rasmi untuk kadar kemiskinan di Malaysia, yang mengukur kemiskinan tegar adalah terlalu rendah dan tidak menggambarkan dengan tepat realiti kos sara hidup di bandar dan luar bandar di negara ini.
"Pengiraan kadar kemiskinan yang lebih tepat akan membolehkan pembuat dasar mengenal pasti dan menyasarkan program-program pambasmian kemiskinan kepada seisi rumah, kumpulan dan individu-individu yang memerlukan bantuan dan sokongan," katanya dalam kenyataan media hari ini.
Mengulas mengenai kenyataan oleh Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Philip Alston baru-baru ini, Suhakam menyeru pelaksanaan standard hak asasi dalam program-program dan perancangan dasar pembasmian kemiskinan.
"Suhakam percaya bahawa program-program tersebut akan lebih mampan dan memberikan impak yang lebih besar," katanya sambil mengakui bahawa terdapat banyak faktor yang memberi impak kepada individu atau golongan yang mengalami kemiskinan.
Menurut Suhakam, kadar kemiskinan di antara 15-20 peratus yang dilaporkan oleh pelapor khas PBB itu realistik.
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad pada 29 Ogos lalu bersetuju terdapat keperluan untuk mengubah garis kemiskinan sedia ada pada tahap pendapatan bulanan RM980 bagi seisi rumah.
Bagaimanapun, Dr Mahathir berkata kadar kemiskinan negara tidak seteruk seperti yang dijelaskan oleh pelapor khas PBB, Philip Alston.
Jelasnya, mesyuarat kabinet yang dipengerusikan beliau telah membincangkan isu kemiskinan dan garis kemiskinan.
Pada 24 Ogos, Alston berkata garis kemiskinan Malaysia agak rendah bersamaan dengan RM980 bagi setiap isi rumah itu yang diterjemahkan menjadi kadar kemiskinan sebanyak 0.4 peratus.
Kata Alston, kadar kemiskinan di Malaysia sepatutnya hampir 15 peratus.