Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Sumber: Hutang Harakah bukan pada syarikat muflis saja
Diterbitkan:  Sep 1, 2019 1:10 PM
Dikemaskini: 8:16 AM

Sebuah syarikat percetakan terkilan apabila pemimpin kanan PAS mendakwa hutang ditanggung akhbar rasmi parti itu, Harakah, tidak dibayar kerana mereka muflis.

Seorang pegawai kanan syarikat NAJ Press Resources (M) Sdn Bhd (NAJ Press) memberitahu Malaysiakini, reaksi diberikan PAS agak mengelirukan dan tidak menggambarkan keadaan sebenar.

Enggan didedahkan identitinya, beliau berkata, memang ada syarikat pencetak yang muflis dan ia dikenali sebagai Angkatan Edaran Enterprise Sdn Bhd (Angkatan Edaran).

"Dengan Angkatan Edaran, Harakah ada berhutang, tetapi jumlah lebih besar adalah pada NAJ Press. NAJ Press bukan syarikat muflis," katanya.

Malaysiakini pada 28 Ogos lalu melaporkan PAS mengakui syarikat penerbit Harakah menanggung hutang tertunggak dengan sebuah syarikat pencetak.

Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan, juga menafikan parti itu atau Harakah sengaja lari daripada syarikat pencetak berkenaan sebaliknya mempunyai sebab tersendiri untuk berbuat demikian.

"Sebenarnya syarikat yang dulu itu (pencetak lama) sudah muflis, jadi sebab itulah (tukar).

"Saya tak nak bangkitkan, tapi mengenai kita ada tunggakan (dan) sengaja lari itu tidak betul," katanya di Kota Bharu pada 27 Ogos. 

Tak kira politik

Pada 30 Ogos pula Malaysiakini menyiarkan penjelasan daripada PAS yang sedang mendapatkan pandangan peguam mengenai isu berkenaan.

Sumber PAS memaklumkan pihak pengurusan Harakah kini menyerahkan isu tersebut kepada peguam.

"Perkara ini sudah berada dalam proses perundangan dan peguam sudah dilantik bagi menguruskannya.

"Pihak pengurusan Harakah akan akur dan akan bertindak mengikut nasihat peguam," katanya. 


Baca Pencetak masih harap Harakah lunaskan hutang


Sumber NAJ Press berkata syarikat Angkatan Edaran dulu diisytihar muflis ekoran kes membabitkan saman terhadap bekas pemimpin PAS, Mazlan Aliman.

Mazlan kini menyertai Amanah dan dilantik sebagai pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang.

"Isu berkenaan pun sudah selesai dan kami sedang menguruskan apa yang perlu bagi membaik pulih Angkatan Edaran, cuma ia mengambil sedikit masa," katanya.

Sumber itu menambah, ketika ini NAJ Press masih beroperasi dan mencetak beberapa akhbar lain termasuk akhbar rasmi kerajaan negeri, Selangor Kini dan Amanah Mingguan.

Enggan membuat kesimpulan sendiri, sumber itu memberitahu, dia berharap keputusan Harakah tidak melunaskan hutang tersebut bukan disebabkan faktor politik.

"Kami sebagai pencetak tak mengambil kira faktor politik, sebab kita kena profesional. Politik, kepartian - itu isu lain. Kami tak mahu mencampur-adukkan politik dengan perniagaan," katanya.

Sementara itu Ketua Penerangan Pusat PAS Kamaruzaman Mohamad memberitahu Malaysiakini, pihaknya enggan memberi sebarang komen buat masa ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS