Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Masjid tangguh pengajian Quran hormati jenazah Kristian
Diterbitkan:  Sep 1, 2019 12:27 PM
Dikemaskini: 4:27 AM

GLOBAL | Di sebalik komposisi umat Islam yang hampir 100 peratus di Indonesia penduduk di Kemayoran, Jakarta Tengah baru-baru ini menunjukkan sikap tolerasi yang dipuji ramai pihak.

Ia bermula dengan beberapa keping gambar dimuat naik di media sosial yang segera menjadi tular.

Dimuat naik oleh oleh Jeferson Goeltom tiga gambar itu antara lain memaparkan seorang paderi berjubah putih berdiri di depan keranda yang dihiasi dengan tanda salib dan bunga.

Beberapa orang hadir ke upacara penghormatan, termasuk lelaki Islam yang bersongkok.

Lebih menarik, ia dibuat hanya beberapa meter dari pintu masjid.

“Hari ini mengikuti kebaktian tutup peti (upacara pengebumian), di mana isteri keponakan (anak saudara) meninggal dunia, lokasi rumahnya sempit dan keranda tidak bisa masuk ke rumah.

“Ada kejadian yang luar biasa kami rasakan kerana dizinkan untuk jalankan pengebumian di depan masjid,” tulis Goeltom.

Selamat untuk semua

Tambahnya, perkara tersebut disifatkan sebagai sikap toleransi yang tinggi dan turut mengucapkan terima kasih kepada pengurus masjid serta masyarakat Muslim setempat yang menghulurkan bantuan.

“Kiranya tuhan memberkati dan melindungi serta memberi berkah yang indah untuk kalian semua,” katanya lagi.

Hantaran tersebut juga dilihat telah mendapat respons baik dari rakyat negara berkenaan dan mencapai 38,000 tanda suka dan 9,000 kongsi di Facebook.

The Jakarta Post melaporkan, salah seorang penjaga masjid berkenaan, Agus, mengeyakan perkara tersebut.

“Jeferson mewakili keluarga untuk bercakap kepada pengerusi masjid untuk meminta izin menggunakan halaman itu kerana keadaan lorong sempit,” katanya.

Selepas diperhatian jalan ke rumah memang sempit dan pintu untuk masuk ke lorong tersebut tidak lebih dari satu meter. Keadaan itu meletakkan mereka tidak ada pilihan kecuali menggunakan halaman masjid berkenaan.

Kata Agus lagi, masjid tersebut juga menangguhkan pengajian al-Quran supaya tidak mengganggu upacara pengebumian yang berlaku pada ketika itu.

“Alhamdullilah, saya telah tinggal di sini selama 30 tahun. Ia selamat di sini untuk semua orang. Meraya yang merayakan Krismas dibenarkan, dan yang meraya Idul Fitri juga dialu-alukan.

“Orang di sini mempunyai rasa toleransi yang tinggi dan tidak pernah saling bertentangan dengan perbezaan.

"Seluruh negara perlu belajar, kita tidak boleh mengganggu nilai Bhineka Tunggal Ika (Perpaduan Dalam Kepelbagaian),” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS