Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Merdeka: Apa kata pemimpin negara?
Diterbitkan:  Aug 31, 2019 4:55 PM
Dikemaskini: 8:55 AM

Seluruh rakyat Malaysia hari ini meraikan sambutan Hari Kebangsaan ke-62 dengan bertemakan ‘Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih’.

Pemimpin dari parti politik dan pembangkang masing-masing berkongsi mesej sempena Hari Merdeka.

Malaysiakini menghimpunkan beberapa mesej yang kami temui dan ia ialah adalah seperti berikut:

Majlis Presiden PH

Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) menyeru rakyat Malaysia bersama-sama menghargai keamanan dan kesejahteraan yang telah dinikmati selama ini dengan mendidik diri dan keluarga serta jiran tetangga supaya saling memahami, bertoleransi dan melayani satu sama lain.

Selain itu seluruh rakyat juga digesa untuk menjauhi sikap melampau yang cuba dicetuskan pihak yang hanya melakukannya demi kepentingan politik mereka.

"Menginsafi bahawa negara yang kita cintai sedang terus diasak sentimen perkauman, walaupun sudah 62 tahun bebas daripada ancaman penjajah.

"Malaysia tidak mempunyai pilihan lain, selain kembali ke garis tengah, dan meninggalkan segala prasangka serta fahaman melampau yang mengancam kesinambungan kejayaan rakyat negara ini yang telah melaksanakan sebuah perubahan politik yang begitu besar pada 9 Mei 2018," menurut kenyataan itu.

Presiden PAS

Presiden PAS, Abdul Hadi Awang tampil dalam satu video pendek menceritakan tentang maksud kemerdekaan di hadapan sekumpulan kanak-kanak.

Video selama lebih tiga minit itu menampilkan Abdul Hadi duduk sambil menjawab mesra pertanyaan kanak-kanak berkenaan mengenai erti 'merdeka'.

Abdul Hadi turut memberitahu bahawa rakyat Malaysia harus menghormati bendera Malaysia.

 

Menteri Pertahanan

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu pula dalam mesejnya berkata rakyat di negara ini masih dapat menyambut Hari Kebangsaan pada tahun ini dalam suasana aman dan tenteram adalah atas jasa dan pengorbanan anggota tentera yang menjaga keselamatan dan kedaulatan negara sepanjang masa.

Sehubungan itu, Mohamad menyeru rakyat menghargai jasa dan pengorbanan anggota keselamatan negara.

"Dalam keadaan kita selesa melakukan aktiviti harian, lebih 13,000 anggota ATM sedang menjalankan tugas menjaga keselamatan negara 24 jam sehari di medan dan di perbatasan.

"Sempena sambutan hari kebangsaan ini marilah kita menghargai pengorbanan mereka," katanya.

 Menteri Hal Ehwal Ekonomi

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohamed Azmin Ali dalam mesej yang dikongsikan di ruangan rencana yang diterbitkan Berita Harian menyentuh bagaimana perpecahan dalam kalangan rakyat Malaysia hari ini, yang sebahagiannya disebabkan oleh jurang sosio-ekonomi.

"Sejak dari sebelum merdeka telah wujud jurang pembangunan antara kelas, etnik dan wilayah. Dasar ekonomi laissez-faire menyebabkan jurang ini meningkat.

"Jurang ini dilihat sebagai tanda ketidakadilan sosio-ekonomi. Meskipun sebelum ini telah ada dasar-dasar tindakan afirmatif untuk menangani jurang tersebut namun hasilnya kurang memuaskan," katanya.

Menteri Komunikasi dan Multimedia

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo yang juga timbalan pengerusi DAP, menggesa rakyat Malaysia untuk kembali kepada prinsip Rukun Negara dan nilai-nilai keamanan, keharmonian, perpaduan, kesetiaan kepada Raja dan negara, toleransi, dan patriotisme.

"Marilah kita kembali kepada prinsip-prinsip Rukun Negara yang menerapkan nilai-nilai murni yang berasaskan kedamaian, kesejahteraan, perpaduan, kesetiaan kepada Raja dan Negara, sikap toleransi antara satu sama lain dan semangat patriotisme yang jitu supaya kita semua dapat hidup bersatu padu tanpa sebarang sengketa dalam usaha kita membina satu negara yang maju dan dilihat oleh seluruh dunia sebagai contoh negara majmuk yang berjaya," katanya.

Menteri KPKT

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin menyeru seluruh rakyat negara ini bersatu padu, bersemangat patriotik dan menolak sebarang unsur yang boleh membawa perpecahan kepada usaha pembinaan semula negara.

Zuraida turut berazam membawa bersama semangat perjuangan wirawan dan srikandi negara terdahulu dalam bersama mengemudi dan membina semula negara tercinta.

 

"Tumpuan akan saya beri untuk pembangunan komuniti secara holistik, negara yang bersih, perumahan yang selesa serta mampu dimiliki dan perkhidmatan kerajaan tempatan yang memuaskan," katanya.

Menteri kesihatan

Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad mendoakan Malaysia terhindar dari amalan rasuah serta salah-guna kuasa yang memusnahkan khazanah kekayaan negara.

'Ya Allah, Kau kekalkan perpaduan dan kedamaian tanah air ini.. jauhilah negara dari terjebak dalam perpecahan kaum dan ketidakstabilan hubungan antara agama.

"Kau izinkan kami memaknakan serta mengertikan kemerdekaan ini dengan terus membangunkan nilai serta cita2 lslam yang akan Merahmati Semua dan bantulah kepimpinan negara ini buat memacu misi 'Kemakmuran Bersama".

 

Menteri Sumber Air, Tanah, dan Manusia

Menteri Sumber Air, Tanah, dan Manusia Dr Xavier Jayakumar menekankan misi kementeriannya untuk melindungi haiwan nasional Malaysia, harimau Malaya dan memastikan ia tidak menjadi "mitos".

"Kita mesti menghargai dan melindungi biodiversiti semulajadi yang kaya kerana hutan hujan kita adalah warisan kita, supaya kita mengekalkannya untuk generasi akan datang."

 

Menteri Pertanian dan Asas Tani

Menteri Pertanian dan Asas Tani Salahuddin Ayub dalam mesej video Merdeka menegaskan komitmen kementeriannya untuk memastikan keselamatan makanan negara.

"Sebagai sebuah negera yang telah mencapai kemerdekaan 62 tahun, Kementerian Pertanian dan Asas Tani akan sentiasa menjaga kecukupan makanan demi untuk kita menjaga keselamatan negara.

"Keselamatan makanan adalah sebahagian daripada pertahanan negara yang perlu diisi dengan penuh tanggungjawab. Dan dengan adanya makanan yang sihat, berkhasiat dan cukup serta mampu dimiliki oleh rakyat Malaysia adalah sebahagian erti kemerdekaan yang kita perjuangkan," katanya.

Bekas PM

Bekas perdana menteri, Najib Razak dalam mesej Hari Kebangsan yang dimuat naik dilaman sosial Facebook beliau menyatakan kesedihannya dengan keadaan semasa negara hari ini.

Kata Najib, hari demi hari berlalu keharmonian, kemakmuran dan keamanan kita semakin tergugat.

"Saya dapat merasakan seolah-olah persefahaman dan perpaduan semakin rapuh.

"Bagaimana kita boleh sampai ke tahap ini sedangkan selama 61 tahun kemerdekaan sebelum kerajaan PH tadbir negara, perpaduanlah yang menjadi tunjang negara.

"Di mana semangat Satu Malaysia di kalangan kita? Di mana semangat Negaraku, Sehati, Sejiwa? Di mana kepimpinan Malaysia yang diperlukan," katanya.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS