Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Gitaris Queen harap konsert ala Live Aid ketengah isu iklim
Diterbitkan:  Aug 30, 2019 9:17 PM
Dikemaskini: Aug 31, 2019 6:22 AM

Gitaris kumpulan rock Queen, Brian May berharap sebuah konsert mega seperti Live Aid dapat diadakan bagi mengetengahkan isu perubahan iklim.

May berkata, golongan pemuzik sepertinya akan cuba membantu untuk menjayakan persembahan seumpama itu sekiranya ia diadakan.

“Generasi lebih muda mungkin akan cuba harungi situasi itu dengan keazaman dan keberanian,” katanya dipetik CNN.

May mengakui bahawa harapannya itu mungkin sukar direalisasikan memandangkan kurangnya penganjuran konsert dan festival muzik sejak kebelakangan ini.

Kumpulan legenda rock Queen merupakan sebahagian daripada pemuzik yang menyertai konsert amal bersejarah yang dianjurkan pada 13 Julai 1985.

Konsert Live Aid turut menampilkan artis seperti U2, Phil Collins, Madonna, Elton John, David Bowie dan Mick Jagger.

Live Aid diadakan bertujuan mengumpul dana bagi membantu rakyat Etiopia, sebuah negara miskin yang terletak di benua Afrika yang dilanda kemiskinan dan kebuluran.

Konsert amal berkenaan merupakan konsert global dianjurkan serentak di dua lokasi berbeza iaitu Stadium Wembley di London dan Stadium John F Kennedy, di Philadelphia, AS dengan anggaran 1.5 bilion penonton dari lebih 150 buah negara dan berjaya mengumpulkan dana AS$245 juta (RM1,031.77).

Peranan Queen dalam konsert Live Aid disorot dalam filem Bohemian Rhapsody yang ditayangkan baru-baru ini, dan berjaya meraih anugerah Oscar.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS