Setelah apa yang berlaku sejak 16 bulan lalu ketika Pakatan Harapan (PH) menang PRU ke-14, Anggota Parlimen Klang Charles Santiago berkata beliau masih menyimpan sedikit harapan, seperti ramai yang lain.
Bagaimanapun anggota parlimen dari DAP itu berkata ia telah dihapuskan oleh kenyataan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad beberapa hari lalu berkenaan tiada ruang untuk Presiden PKR Anwar Ibrahim dalam kabinet kerajaan.
Menyifatkan penjelasan Mahathir sebagai mengarut, Charles berkata: "Kenyataan itu hanya menunjukkan kita lebih fokus kepada mempertahankan kuasa berbanding membina negara."
"Saya tahu dengan bisikan-bisikan di lapangan. Rakyat kini sanggup memberi peluang kepada Anwar kerana bimbang Mahathir kembali kepada cara lamanya," katanya dalam kenyataan sempena Hari Merdeka hari ini.
Beliau berkata selepas PH mendapat kuasa, beliau yakin pemerhatiannya menjelang Hari Merdeka, tahun demi tahun, akan menjadi positif.
"Saya membayangkan menulis tentang kerajaan yang menunaikan janji pilihan raya, mesra rakyat, fokus mengurangkan kos sara hidup, benar-benar berusaha meningkatkan gaji minimum, memberi nafas baru kepada sistem pendidikan...
"Apatah lagi ramai bekas pembangkang, yang kini menganggotai kabinet dan menjadi ahli parlimen, menggadaikan segalanya untuk bercakap benar kepada mereka yang berkuasa.
"Tetapi menjelang Hari Merdeka, saya sedar betapa naifnya pemikiran ini. Hari ini kita bukan juara rakyat. Malah rakyat marah dan rasa dikhianati. Dan jika PRU diadakan sekarang, kemungkinan kita akan kalah," katanya lagi.
Pada 29 Ogos lalu, Mahathir berkata Anwar tidak akan disertakan dalam kabinet apabila pertukaran portfolio dibuat tidak lama lagi.
"Oleh kerana tiada siapa yang mengatakan mereka ingin meletakkan jawatan, kami tidak mempunyai kekosongan (untuk menampung Anwar)," katanya ketika ditanya pemberita berkenaan sebab tidak menyertakan Anwar dalam pertimbangannya untuk menukar portfolio kabinet, dan di saat terdapat tekanan untuk peralihan kuasa.
Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang P Ramasamy berkata beliau ingin tahu mesej yang ingin disampaikan Mahathir dalam kenyataannya itu.
"Adakah kerana tiada kekosongan dalam kabinet atau Mahathir merasakan Anwar tidak layak untuk kedudukan menteri, sekurang-kurangnya buat masa sekarang? Atau kerana Anwar akan menduduki jawatan perdana menteri ketika Mahathir berundur?" soalnya dalam kenyataan hari ini.
Beliau mempersoalkan jika wujud usaha menggagalkan pelan peralihan kuasa yang dipersetujui sebelum PRU lalu, kerana sementara Mahathir berulang kali menegaskan Anwar akan menggantikannya, wujud khabar angin berkenaan ketidaktentuan perkara itu.
"Saya berterima kasih kepada Mahathir kerana memberikan kepimpinan yang penting untuk kemenangan terhadap BN tetapi jangan lupa pengorbanan besar Anwar dalam membawa reformasi politik yang menjadikan kemenangan pilihan raya sesuatu yang mungkin," katanya.
Begitu juga dengan pengorbanan pemimpin DAP yang menurutnya membentuk gabungan PH bagi berdepan dengan BN, katanya lagi.
'Bantu kerajaan bangkit dari tidur'
Dalam pada itu Charles mengimbas kembali "euforia" yang dirasakan rakyat selepas tumbangnya BN pada 9 Mei 2018, tetapi menurutnya rakyat kini merasakan mereka menukar "regim korup dengan kerajaan autoritarian".
"Mahathir tidak berganjak dengan kereta nasional (baru) sementera Menteri Pembangunan Usahawan Mohd Redzuan Yusof fokus kepada projek kereta terbang.
"Jumlah RM980, menurut kerajaan, tidak mencerminkan kemiskinan walaupun ia bermakna empat orang dalam satu keluarga akan hanya ada RM8 untuk dibelanjakan sehari. Dan kita tertanya-tanya mengapa rakyat, yang mengundi kita, tidak merasa tertipu," katanya.
Tetapi Charles berkata sekarang bukan masanya untuk berputus asa kepada kerajaan PH yang menurutnya masih muda.
"Masanya untuk membantu membentuk kerajaan baru ini demi kepentingan rakyat. Kita ada tanggungjawab bersama dalam membantu kerajaan PH untuk bangkit dari tidurnya," katanya lagi.