Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Pakatan Harapan (PH) membincangkan dakwaan yang mengatakan ia tidak begitu disukai oleh rakyat ketika ini pada mesyuarat hari ini, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat majlis presiden PH, Dr Mahathir berkata komunikasi antara gabungan parti pemerintah itu kurang baik.

"Kita ada mesyuarat yang membuahkan banyak hasil hari ini, kita bincang banyak isu, tapi semua isu itu rahsia. Jadi kita tak boleh beritahu apa yang kita cakap.

"Kebanyakannya berkenaan dengan tuduhan bahawa sekarang ini PH sudah tidak disukai oleh rakyat, bahawa jika hari ni kita ada PRU, kita (PH) akan kalah. Jadi kita nak tahu sebab apa.

"[..] kita dapati bahawa kesalahan itu tidak ada, (cuma) komunikasi kita itu kurang baik," katanya.

Jelas Dr Mahathir, media sering mensensasikan isu-isu kontroversi berhubung kaum dan agama.

"Apabila kita cakap dengan media terangkan berkenaan kejayaan kita, media tanya soalan lain, yang kontroversi.

"Media biasanya suka kontroversi, jadi kita (terikut) nak bagi lah kontroversi bagi seronok media," katanya.

"Kita dapati bahawa ada pihak yang menggembar-gemburkan soal kaum, agama, perbezaan macam-macam lagi, benda ni boleh diselesaikan dalam kerajaan, dan kabinet.

"Tapi oleh kerana banyak laporan yang menimbulkan kemarahan pihak itu dan ini, dan isu yang kecil menjadi besar, dan ia memisahkan kaum-kaum di negara kita," katanya lagi.

Justeru, Dr Mahathir menyeru agar media tidak mensensasikan isu-isu berkenaan.

"Saya mintalah, saya rayulah kepada media jangan main lah isu perkauman, agama, kalau nak buat laporan, buat laporan yang benar, kalau benda yang baik kita tak lapor, kita lapor cuma yang tak baik, saya khuatir permusuhan antara kaum dan agama.

"Kalau itulah yang sudah berlaku sukar bagi kita memadamkannya," katanya.

[Baca berita penuh]



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS