Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad bersetuju terdapat keperluan untuk mengubah garis kemiskinan sedia ada pada tahap pendapatan bulanan RM980 bagi seisi rumah.
"Garis kemiskinan? Saya fikir ada keperluan untuk itu," katanya kepada media ketika ditanya mengenai keperluan kerajaan mengubah garis kemiskinan.
Bagaimanapun, beliau berkata kadar kemiskinan negara tidak seteruk seperti yang dijelaskan oleh pelapor khas PBB, Philip Alston.
"Tidak seperti yang dikatakan oleh orang yang datang ke sini untuk satu hari, tinggal di hotel besar dan kemudian membuat kesimpulan," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Bersatu hari ini.
Tanpa mengulas lanjut, beliau berkata mesyuarat kabinet yang dipengerusikan beliau telah membincangkan isu kemiskinan dan garis kemiskinan.
Pada 24 Ogos, Alston berkata garis kemiskinan Malaysia agak rendah bersamaan dengan RM980 bagi setiap isi rumah itu yang diterjemahkan menjadi kadar kemiskinan sebanyak 0.4 peratus.
Menurut Alston kadar kemiskinan di Malaysia sepatutnya hampir 15 peratus
"“Kadar 0.4 peratus tidak menunjukkan realiti di peringkat akar umbi. Kita boleh mempersoalkan sama ada kadar sebenar adalah 12 atau 18 peratus, tetapi kadar itu sangat tinggi.
“Walaupun tidak dapat dinafikan Malaysia mencapai pertumbuhan yang mengagumkan dalam mengurangkan kemiskinan dalam tempoh 50 tahun yang lalu, namun dakwaan rasmi bahawa kemiskinan sudah dibasmi atau hanya wujud dalam kelompok kecil di kawasan luar bandar adalah tidak tepat,” kata pelapor khas PBB itu.
Sementara itu, Bernama melaporkan Dr Mahathir sebagai berkata beliau tidak mendapat maklumat mengenai pelantikan Jalil Rasheed, 37, sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Permodalan Nasional Bhd (PNB), berkuat kuasa 1 Okt ini.
“PNB duduk bawah Zeti (pengerusinya Dr Zeti Aziz)...Zeti tidak bagi tahu saya apa pun," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada Jalil memahami hal tuju ekonomi Bumiputera dan Melayu memandangkan beliau dilihat masih muda selain pengalamannya luas di luar negara.
Mengenai keperluan mengubah garis kemiskinan sedia ada pada tahap pendapatan bulanan RM980 bagi seisi rumah, Dr Mahathir berkata memang terdapat keperluan tetapi tidak seteruk seperti dijelaskan oleh Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Berhubung Kemiskinan Tegar dan Hak Asas Manusia, Prof Philip Alston.
“Tidak seperti dikatakan oleh orang yang datang ke sini untuk satu hari, tinggal di hotel besar dan kemudian membuat kesimpulan,” katanya.
Beliau mengulas mengenai laporan Alston minggu lalu bahawa kerajaan perlu mengkaji dan menilai semula kadar kemiskinan di negara ini kerana laporan rasmi bahawa ia hanya pada kadar 0.4 peratus adalah tidak tepat.
Alston dilaporkan berkata, kadar kemiskinan sebenar di Malaysia adalah jauh lebih tinggi, iaitu hampir sama dengan negara lain pada kadar kira-kira 15 peratus.