Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PTPTN jalin kerjasama strategik bantu peminjam cari kerja

Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) hari ini menandatangani perjanjian persefahaman (MOU) dengan tiga agensi bagi membantu peminjam mendapat pekerjaan selepas tamat pengajian.

Tiga agensi itu ialah Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM)), Jobstreet.com Sdn Bhd dan Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia.

Pengerusi PTPTN Wan Saiful Wan Jan berkata sebagai peneraju pinjaman pendidikan agensi itu melihat masalah yang dihadapi peminjam yang sukar mencari pekerjaan sebagai satu masalah yang turut dirasai PTPTN.

"PTPTN memahami isu yang dihadapi oleh peminjam dan sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR) PTPTN kepada peminjam, langkah tersebut diambil bagi membantu mengatasi masalah ini,” katanya kepada pemberita selepas majlis pertukaran MOU di antara PTPTN dan ketiga-tiga agensi tersebut di Kuala Lumpur,

Majlis itu turut disaksikan Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Kata Wan Saiful, membantu mendapatkan pekerjaan dalam kalangan peminjam bukanlah dalam bidang kuasa dan fungsi PTPTN.

Namun katanya pendekatan tersebut diambil sebagai sebahagian daripada usaha PTPTN membantu peminjam mencari pekerjaan dan memudahkan urusan mereka memulakan bayaran balik pinjaman selepas tamat pengajian.

Beliau berkata kerjasama melalui MOU itu sekaligus akan meningkatkan prestasi bayaran balik pinjaman demi kelangsungan generasi akan datang dan dijangka memanfaatkan sejuta peminjam.

Ada perkhidmatan tambahan percuma

Wan Saiful berkata kerjasama itu juga diharap membantu peminjam PTPTN yang terdahulu (bermula pinjaman tahun 1997) sekiranya mereka masih menganggur atau ingin mendapatkan pekerjaan yang lebih baik.

"Ia diharap membantu peminjam yang sehingga hari ini tidak mampu membayar langsung atau tidak mampu membayar secara konsisten dengan membuka ruang untuk mereka mencari pekerjaan yang lebih baik," katanya.

Sementara itu, Bendahari Kehormat NCCIM, Nazwin Don Najib, berkata MyJobs di bawah NCCIM merupakan platform untuk majikan mempromosikan kekosongan jawatan dan juga saluran untuk orang ramai khususnya peminjam PTPTN mencari peluang pekerjaan.

"Platform ini akan dapat membantu membina pangkalan data permohonan pekerjaan yang boleh digunakan terutamanya kesemua ahli NCCIM untuk memenuhi keperluan mencari calon bagi mengisi kekosongan jawatan dengan kadar segera.

"Sejumlah 650,000 majikan yang merupakan ahli NCCIM akan menyediakan keperluan pekerjaan bagi memastikan ia dapat memenuhi permintaan sama ada bertaraf kontrak atau program latihan pekerjaan sementara sebelum peserta mendapat pekerjaan tetap lebih baik," katanya.

Pengurus Negara Jobstreet.com, Gan Bock Herm, berkata JobStreet.com mempunyai 90,000 majikan berdaftar dalam dan luar negara.

Selain itu, katanya, laman mikro JobStreet.com diwujudkan untuk PTPTN menyediakan semua fungsi pencarian kerja.

"Perkhidmatan tambahan secara percuma turut disediakan kepada peminjam PTPTN meliputi penyediaan modul pembelajaran seperti persediaan menghadapi temuduga, basic soft skill learning, penyediaan resume dan banyak lagi," katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS