Keputusan memperkenalkan semula perkhidmatan bas mini, selepas hampir 21 tahun dihentikan dilihat sebagai satu langkah ke belakang serta bukan aspirasi Wawasan 2020.
Ketua Pemuda parti Ikatan Malaysia, Shahir Adnan berkata kerajaan tidak sepatutnya membuang masa, tenaga, dan duit rakyat dengan membawa kembali perkhidmatan bas mini dan memulakan perkhidmatan motosikal “e-hailing”.
"Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM) amat gusar dengan perkembangan dasar-dasar kerajaan Pakatan Harapan pada hari ini yang dilihat sebagai langkah ke belakang dan makin tersasar dari aspirasi Wawasan 2020.
"Anak muda amat gusar dengan perkembangan dasar-dasar pengangkutan awam yang ke belakang seperti GoJek dan bas mini," katanya dalam kenyataan media hari ini.
Mengulas lanjut, Shahir berkata dasar pengangkutan awam seharusnya menjadi lebih baik ke arah negara maju dan berpendapatan tinggi pada tahun 2020.
"Bas mini mula diperkenalkan pada tahun 1975, perkhidmatan itu ditamatkan pada 1998 selepas pihak berkuasa menggabungkan perkhidmatan pengangkutan awam di ibu negara.
"Bas mini merupakan pemandangan biasa di ibu negara dari 1970-an hingga 1990-an dan bas yang sentiasa sesak dengan penumpang itu dianggap sebagai pengangkutan awam paling murah pada masa itu.
"Adakah negara kembali kepada tahun 1970-an atau 1990-an?" tanya beliau.
"Perdana menteri keempat membatalkan perkhidmatan bas mini pada tahun 1998 kerana faktor keselamatan dan kesesakan lalu lintas. Malangnya kali ini, perdana menteri ketujuh membawa kembali perkhidmatan bas mini," tambahnya lagi.
Rapid KL semalam mengumumkan akan memperkenalkan semula perkhidmatan bas mini di Kuala Lumpur.
Perkhidmatan bas mini percubaan dari hab Bukit Indah ke Ampang Point, menerusi Jalan Rasmi dari 1 Sept hingga 29 Nov.
Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus Sdn Bhd Muhammad Yazurin Sallij berkata bas mini itu, yang boleh membawa 31 penumpang di dalam setiap bas, akan beroperasi dengan kekerapan 15 minit (waktu puncak) dan 25 minit (luar waktu puncak) dari 5:30 pagi hingga 11:40 malam.