Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
'Anda tak keseorangan' - Iklan di pawagam untuk wanita hamil luar nikah
Diterbitkan:  Aug 29, 2019 11:27 AM
Dikemaskini: 5:50 AM

Kementerian Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat akan menyiarkan iklan kempen di pawagam bagi meningkatkan kesedaran di kalangan wanita yang hamil di luar nikah untuk mendapatkan bantuan.

Timbalan menteri Hannah Yeoh berkongsi video iklan berdurasi 30 saat di akaun Twitternya semalam, dan menyifatkan ia sebagai sebahagian usaha kementerian dalam menangani kes pembuangan bayi.

"Jika kehamilan luar nikah berlaku, hubungan talian Kasih 24 jam di 15999.

"Berterus terang dengan keluarga atau kenalan yang dipercayai. Rujuk segera ke klinik atau hospital kerajaan.

"Berhubung dengan doktor atau kaunselor melalui aplikasi Kafe Teen.

"Anda tidak keseorangan.

"Dapatkan bantuan di rumah perlindungan untuk bayi dan diri anda," kata video tersebut.

 Ia akan ditayangkan di kira-kira 282 pawagam di semua 35 Panggung Wayang TGV di seluruh negara.

Yeoh menyifatkannya sebagai langkah di luar kotak bagi menangani masalah pembuangan bayi di negara ini.

"Berfikir di luar kotak: Pertarungan melawan isu pembuangan bayi kini membawa kami ke panggung wayang.

"Doakan kami berjaya," katanya di Twitter.


BacaPakar: Kehamilan di usia remaja bahayakan kesihatan, ancam nyawa


Terdahulu, Menteri Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata ada 1,010 kes buang bayi yang dilaporkan antara 2010 hingga Mei 2019, dan 64 peratus bayi (646 kes) meninggal dunia ketika ditemui.

Menurutnya, bayi dibuang berdekatan kawasan perumahan (292 kes), tandas (115 kes) dan tong sampah (95 kes).

Antara sebab utama masalah itu termasuk kehamilan luar nikah, kurang maklumat berkenaan apa yang perlu dilakukan berhubung bayi yang dilahirkan, serta kurangnya sokongan kepada wanita yang melahirkan anak itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS