Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan pertubuhan Sisters In Islam (SIS) untuk mendapatkan semakan kehakiman ke atas fatwa dikeluaran pihak berkuasa Islam Selangor.
Semasa menyampaikan keputusan berkenaan hakim Nordin Hassan berkata Jawatankuasa Fatwa Selangor mematuhi semua prosedur yang ditetapkan semasa mengeluarkan fatwa tersebut.
"Justeru permohonan semakan kehakiman ini ditolak dengan kos RM10,000," katanya.
Fatwa yang dipertikaikan SIS itu dikeluarkan pada awal 2014. Jawatankuasa Fatwa Selangor memutuskan SIS sebagai "sesat" berdasarkan pendirian pertubuhan berkenaan dalam beberapa isu.
Fatwa tersebut kemudian diwartakan oleh kerajaan negeri pada Julai tahun yang sama.
Ekoran itu SIS memfailkan permohonan untuk semakan kehakiman atas fatwa tersebut pada kira-kira tiga bulan kemudian bagi mengisytiharkannya sebagai tidak terpakai ke atas sesebuah pertubuhan.
Menurut Nordin, beliau mendapati fatwa dikeluarkan terhadap SIS tertakluk kepada bidang kuasa mahkamah syariah dan ia dihadkan oleh perlembagaan.
"Perlembagaan Persekutuan menyatakan hal ehwal berkaitan undang-undang syariah berada bawah undang-undang negeri," katanya.
Ditemui media selepas itu, peguam yang mewakili SIS, A Surendra, berkata ada lima atau enam isu dibangkitkan di depan hakim, termasuk sama ada mahkamah sivil berhak mengkaji semula sesebuah fatwa atau sebaliknya.
Pengarah Eksekutif SIS, Rozana Isa, pula berkata pihaknya sangat kecewa dengan keputusan berkenaan namun ia tidak akan menjejaskan usaha yang mereka lakukan.
"Sudah tentu kami sangat kecewa dengan keputusan berkenaan, tetapi saya tak boleh kata saya terkejut," katanya.