Mahkamah Koroner Shah Alam hari ini memberi kebenaran kepada keluarga anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim untuk memulakan prosiding komital atau menghina mahkamah ke atas Peguam Negara Tommy Thomas.
Ia susulan keputusan Thomas pada Mei yang meminta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk menggugurkan Syazlin Mansor sebagai peguam kementeriannya dalam inkues kematian Adib.
Menurut Sinar Harian, Koroner Rofiah Mohamad mendapati wujud prima facie atas imbangan keberangkatan oleh keluarga Adib.
Thomas sebelum ini dilaporkan berkata, Pejabat Peguam Negara tidak mempunyai bantahan terhadap Syazlin untuk mewakili keluarga Adib tetapi mendakwa peranannya dalam mewakili kementerian itu adalah konflik kepentingan.
Katanya, mengikut konvensyen, kementerian harus diwakili oleh seorang peguam dari Pejabat Peguam Negara (AGC).
Walau bagaimanapun, keputusan itu, yang dibuat tiga bulan selepas inkues dimulakan, menimbulkan persepsi gangguan.
Syazlin telah menarik diri sebagai peguam kementerian tetapi masih mewakili keluarga Adib.
Adib, 24, parah dalam rusuhan Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu dan meninggal dunia pada 17 Disember 2018 di Institut Jantung Negara selepas 21 hari dirawat.
Inkues berkernaan diadakan untuk menentukan punca kematiannya susulan terdapat dua versi bercanggah.
Satu versi mendakwa allahyarham dilanggar oleh van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) manakala satu lagi versi mengatakan beliau dipukul oleh perusuh.