Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Zakir dakwa Ramasamy perguna namanya raih populariti
Diterbitkan:  Aug 26, 2019 3:18 PM
Dikemaskini: 7:18 AM

Pendakwah bebas, Dr Zakir Naik mendakwa Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II, P Ramasamy menggunakan namanya untuk meningkatkan populariti dalam DAP.

Zakir menyatakan perkara itu dalam notis guaman kedua, bertarikh 23 Ogos berhubung kenyataan Adun Perai berkenaan dalam temu bual dengan sebuah organisasi berita India.

"Kami diarahkan untuk menegaskan bahawa kenyataan memfitnah jelas digerakkan oleh niat jahat, kebencian, iri hati dan / atau bermotivasi untuk menyokong populariti kamu yang merosot dalam parti politik kamu selepas diketepikan dalam pemilihan parti.

"Jelas sekali, kami diarahkan untuk menyatakan bahawa perkataan fitnah itu membawa konotasi yang kuat bahawa kamu telah sengaja menyalahgunakan jawatan sebagai Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang," kata notis daripada firma guaman Akberdin & Co.

Dalam reaksinya, Ramasamy mengulangi pendirian bahawa beliau bersedia untuk berhadapan dengan pendakwah kelahiran India itu di mahkamah.

"Pendirian saya jelas. Saya tidak melakukan pusingan-U seperti orang lain. Saya tegas bahawa Zakir perlu dihantar pulang ke India. Saya bersedia untuk bertemu dengannya di mahkamah. Saya tidak akan lari dan bersembunyi," katanya kepada Malaysiakini petang ini.

Walaupun tidak menyebut nama, kenyataan 'U-turn' yang disebut Ramasamy dipercayai ditujukan kepada Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, yang menganjurkan majlis makan malam untuk Zakir pada hujung minggu lalu.

Dalam kenyataannya Syed Saddiq turut menggesa rakyat Malaysia memaafkan Zakir selepas penceramah itu memohon maaf.

Sebelum ini, Syed Saadiq berkata Zakir perlu dihantar pulang kerana ucapannya dikatakan menghina rakyat Malaysia beragama Hindu dan berketurunan Cina semasa satu majlis ceramah di Kelantan pada 8 Ogos lalu.

Sementara itu, notis guaman kedua Zakir menyebut beberapa kenyataan Ramasamy dalam temu bual pada 20 Ogos dengan India Today.

Antara lain, pemimpin DAP itu menolak permohonan maaf pendakwah itu dengan menuduh beliau cuba "melakukan penyamaran serangan ke atas bukan Islam" dan menyifatkannya sebagai "racun dan bisa kepada Malaysia."

Selain itu, Zakir juga tersinggung dengan Ramasamy yang menggelarkannya sebagai "agamawan yang penuh kebencian" dan "pengecut" yang perlu menghadapi tuduhan di India dan bukannya melarikan diri ke negara lain.

"Kami diarahkan untuk menyatakan bahawa dengan menyiarkan kenyataan fitnah itu, kamu telah jelas mengaitkan anak guam kami sebagai individu berwatak jahat dan telah menjadi satu ancaman kepada keselamatan negara, keamanan dan keharmonian di negara ini.

Menurut notis berkenaan, tindakan-tindakan yang terhasil daripada artikel fitnah tersebut adalah tidak berasas dan berunsur fitnah terhadap Zakir.

Ia juga menambah Ramasamy telah "memutarbelit dan memanipulasi" niat sebenar Zakir berhubung ucapannya di Kelantan yang boleh diterjemahkan sebagai dendam peribadi.

"Kami seterusnya diarahkan oleh anak guam kami bahawa dengan menyiarkan kenyataan fitnah berkenaan, kamu telah menghasut dan / atau menyalakan dan / atau menimbulkan sensitiviti kaum, agama atau etnik di kalangan rakyat Malaysia.

"Di atas premis itu, kami diarahkan oleh anak guam kami bahawa kenyataan fitnah tersebut yang telah dibuat atas kapasiti kamu sebagai Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang telah mendorong dan / atau didorong golongan tertentu untuk mengadakan perhimpunan besar-besaran pada 24 Ogos di Brickfields di bawah alasan 'perhimpunan aman' untuk meraih sokongan bagi menyebabkan perbalahan kaum dan / atau keharmonian antara kaum,"katanya.

Sehubungan itu Zakir mahu Ramasamy, antara lain menerbitkan permohonan maaf di akaun media sosialnya dalam masa 48 jam selepas menerima notis berkenaan.

Notis itu juga menuntut Ramasamy, dalam tempoh yang ditetapkan, membuat tawaran sejumlah wang yang munasabah sebagai penyelesaian kepada Zakir atas kerugian, rasa malu, penghinaan dan kehinaan yang disebabkan oleh kenyataan itu.

"Jika tidak, kami diarahkan secara tegas oleh anak guam kami untuk memulakan prosiding undang-undang terhadap kamu, termasuk pelepasan injunksi, ganti rugi dan / atau apa-apa relief lain dengan kos dan kepentingan tanpa sebarang rujukan lanjut kepada kamu," kata firma undang-undang berkenaan.

Sebelum ini, Zakir juga menghantar notis guaman kepada Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran, Anggota Parlimen Klang Charles Santiago, Adun Bagan Dalam Satees Muniandy dan bekas duta Dennis J Ignatius.

Pendakwah bebas itu juga telah membuat laporan polis terhadap Ramasamy dan empat yang lain.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS