Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN | Perbahasan isu Dr Zakir Naik benar-benar menguji konsep serta operasi gagasan Rahmatan Lil Alamin yang dipromosikan oleh kerajaan.

Ketika memberikan reaksi berhubung ceramah Zakir Naik di Kelantan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr Mujahid Yusof menyifatkan ucapan Zakir Naik telah mengundang persepsi yang boleh menggugat perpaduan negara ini.

Terkini, beliau turut menjelaskan bahawa gagasan rahmah ini dibangunkan berteraskan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum, iaitu setiap bangsa seharusnya menghormati serta menjaga perasaan kaum lain.

Namun, dalam kelunakan menyantuni golongan bukan Islam ini, Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainal Abidin menempelak sikap segolongan pendokong gagasan ini yang bersikap tidak seimbang dalam mempromosikan konsep ini.

Dr Mohd Asri Zainal Abidin 

Dalam kuliah beliau di Masjid Alwi, Kangar, Dr Mohd Asri menegaskan bahawa:

“Jangan hanya rahmatan lil alamin hanya keluar dalilnya apabila membabitkan hak orang bukan Islam (sahaja).”

Seakan sudah ada satu corak pemikiran yang menjurus kepada konsep ini lebih digunakan untuk menjaga hati orang bukan Islam semata.

Kritikan terhadap konsep Rahmah

Respons serta pendirian yang diluahkan oleh Dr Mujahid ini ternyata telah banyak mengundang kritikan ramai pihak termasuklah golongan akademik serta agamawan.

Terdahulu Dr Kamilin Jamilin, pensyarah kanan Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), melalui kiriman Facebooknya melihat gagasan ini seakan mula cenderung ke arah pembentukan konsep apa yang disifatkannya sebagai rahmatan lil kafirin iaitu lebih bersikap rahmah kepada orang-orang kafir.

Luahan ini barangkali lahir apabila kenyataan demi kenyataan yang dikeluarkan oleh kerajaan seakan lebih cenderung untuk menjaga hati bukan Islam berbanding menjaga kedudukan saudara Muslim itu sendiri.

Menteri agama Dr Mujahid Yusof

Sebahagian sarjana melihat isu Zakir ini perlu ditangani dengan tegas dan ketegasan ini juga adalah sebahagian dari konsep rahmah.

Ini kerana, Rasulullah dilihat amat menjaga kepentingan hak Muslim terutama dalam perkara yang melibatkan keselamatan mereka.

Bahkan Rasulullah pernah menegaskan bahawa Muslim yang membiarkan saudaranya mereka dizalimi akan dibangkitkan di hari kiamat dalam keadaan dipandang hina di sisi Allah.

Sabda Rasulullah (bermaksud):

“Barang siapa yang menyaksikan saudara Muslimnya dihina dan dia tidak membantunya sedangkan dia mampu, maka Allah akan menghinanya di hadapan sekalian makhluk di hari akhirat.” (HR al-Baihaqi).

Malah, Muslim yang membiarkan saudaranya dihina, Allah tidak akan mempedulikan dirinya di saat dia memerlukan bantuan Allah.

Sabda Rasulullah (bermaksud):

“Tidaklah seorang lelaki yang membiarkan saudara Muslimnya di suatu tempat yang kehormatannya dirampas serta harga dirinya dihina, melainkan Allah akan membiarkannya ketika mana dia sangat mengharapkan pertolongan dari Allah.” (HR Abu Daud)

Muslim tak biarkan saudaranya dizalimi

Keadaan Zakir yang datang seakan memerlukan bantuan di negara ini dilihat oleh Dr Rozaimi Ramle, pensyarah kanan Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi), sebagai satu jelmaan semula penghijrahan Muhajirin kepada Ansar.

Saat Muhajirin memerlukan perlindungan dari kejahatan Quraysh, Ansar bingkas menghulurkan bantuan.

Inilah analogi yang disampaikan oleh Rozaimi Ramlee melalui tulisannya di alam maya.

Malah menurut beliau, pengorbanan Ansar inilah yang perlu kita teladani dalam menghadapi isu yang sedang hangat diperkatakan ini.

Semangat sebeginilah yang seharusnya dimiliki oleh setiap Muslim. Seorang Muslim tidak seharusnya membiarkan kezaliman berlaku di hadapan matanya sendiri.

Rozaimi Ramle 

Apatah lagi sekiranya yang memerlukan bantuan tersebut adalah pejuang agama yang telah banyak menyumbang ke arah pembangunan Islam.

Rasulullah menjelaskan bahawa tidak seharusnya seseorang Muslim itu membiarkan saudaranya dizalimi.

Sabda baginda (bermaksud):

“Muslim adalah saudara buat Muslim yang lain, tidak seharusnya Muslim menzalimi (saudaranya) atau membiarkan saudaranya (dizalimi).” (HR al-Bukhari)

Bahkan inilah sifat Muslim seperti yang diungkapkan di dalam al-Quran. Allah menyifatkan orang-orang beriman itu saling berkasih sayang sesama mereka.

Firman Allah (bermaksud):

"Muhammad utusan Allah, dan orang-orang yang bersama dengan baginda itu bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir yang (memusuhi Islam), (namun sebaliknya) bersikap penuh kasih sayang serta belas kasihan sesama sendiri (umat Islam)." [al-Fath: 29].

Tegas adalah satu rahmah

Ramai yang menyangkakan bahawa melalui konsep Rahmatan Lil Alamin ini, seorang Muslim mestilah menekankan sifat toleransi yang tinggi di dalam agama serta tidak menampakkan kekerasan.

Mereka lupa bahawa bersikap tegas juga adalah satu rahmah. Perkara ini dijelaskan oleh Rasulullah yang menyebutkan (bermaksud):

“Dan demi nyawaku yang berada di tangan-Nya, aku akan memerangi mereka (Quraysh) dan memberi hidayah kepada mereka sekalipun mereka dalam keadaan yang membenci. Sesungguhnya aku adalah rahmah yang diutuskan oleh Allah,” (HR al-Tabrani).

Hadith ini sangat jelas menunjukkan bahawa sekalipun Rasulullah menyifatkan dirinya sebagai rahmah (bersifat kasih), Baginda tetap bersifat tegas dengan kekufuran sehingga sanggup memerangi dan menghunuskan pedang kepada kaumnya serta saudaranya sendiri.

Dalam menerapkan nilai serta semangat rahmah yang tinggi, Rasulullah dilihat meletakkan sempadan yang jelas apabila sesuatu isu itu melibatkan perkara akidah dan kehormatan Islam.

Dr Yusuf al-Qardawi 

Perkara ini dijelaskan oleh Dr Yusuf al-Qardawi bahawa salah satu tanggungjawab bukan Muslim (ahl zimmah) yang perlu dipegang adalah menjaga perasaan (sensitiviti) umat Islam.

Perkara ini dikategorikan oleh Dr Khairul Azhar Meerangani, pensyarah kanan Kolej Universiti Islam Malaysia (Kuim), sebagai ‘tanggungjawab keamanan’ yang perlu dipelihara bersama oleh bukan Muslim.

Beliau menjelaskan bahawa: “warga non Muslim dilarang sama sekali daripada melakukan perkara yang boleh mengguris perasaan umat Islam seperti hasutan, provokasi keagamaan, pencabaran hak serta penzahiran syiar agama mereka dalam kalangan umat Islam.”

Penutup

Menilai isu Zakir yang sedang hangat diperkatakan ini, kerajaan seharusnya bertindak selari dengan konsep Rahmatan Lil Alamin yang telah diperkenalkan.

Segala kenyataan yang dikeluarkan berhubung isu ini mestilah menepati prinsip serta kerangka rahmah yang telah dibangunkan agar tidak menimbulkan keraguan di sisi masyarakat.

Kegagalan menutup kekeliruan yang timbul akan hanya melahirkan keraguan di sanubari rakyat.

Jangan sampai rakyat melihat gagasan ini hanyalah satu retorik politik yang datang secara tempelan semata.


AHMAD SANUSI AZMI adalah pensyarah kanan di Universiti Sains Islam Malaysia dan juga anggota Majlis Ulama Ikatan Muslimin Malaysia.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS