Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Petronas Dagangan antara kaunter paling rugi
Diterbitkan:  Aug 26, 2019 12:25 PM
Dikemaskini: 4:25 AM

Petronas Dagangan Bhd (PDB) merupakan antara saham paling rugi hari ini susulan keputusan kewangan suku keduanya yang lemah.

Pada 11.46 pagi, saham Petronas Dagangan susut 34 sen kepada RM22.92, dengan 113,400 saham bertukar tangan.

Malacca Securities Sdn Bhd dalam nota kajiannya hari ini berkata PDB mencatat penurunan 45 peratus keuntungan bersih tahun ke tahun pada suku kedua kepada RM172.8 juta berbanding keuntungan bersih RM314.4 juta pada tahun sebelumnya, diheret turun oleh margin yang lebih rendah ke atas operasi runcit dan komersil.

Hasil bagaimanapun meningkat 4.5 peratus tahun ke tahun kepada RM7.61 bilion berbanding RM7.28 bilion setahun lepas.

Dalam nota berasingan Kenanga Investment Bank berkata keputusan yang mengecewakan itu disebabkan oleh kejatuhan harga ‘Mean of Platts Singapore’ (MOPS), selari dengan turun naik yang tinggi harga minyak mentah.

Turun naik harga MOPS terus membimbang pada suku ketiga, terutama Ogos, yang mungkin meletakkan tekanan ke atas margin keuntungan.

“Sebaliknya, kami tidak nampak pertumbuhan kukuh pada suku ketiga berdasarkan jumlah trafik yang tinggi sempena perayaan Hari Raya Aidilfitri pada Jun.

“Oleh itu, kami melihat pertumbuhan yang kecil atau lebih buruk trend menurun dalam segmen bahan api berdasarkan perubahan trend perjalanan, terutama di Lembah Klang, susulan pelancaran MRT serta trend penggunaan kenderaan elektrik,” katanya.

Oleh itu ia berkata pergerakan harga MOPS dan jumlah perniagaan kekal sebagai faktor penentu kepada keuntungan.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS