Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Paul Yong umum bercuti dari jawatan exco
Diterbitkan:  Aug 25, 2019 1:32 PM
Dikemaskini: 9:00 AM

Exco Perak Paul Yong yang berdepan tuduhan rogol hari ini mengumumkan bercuti daripada jawatan itu.

Keputusan itu bertentangan dengan pendiriannya sebelum ini untuk meneruskan tugas itu, yang mengundang kritikan daripada beberapa pihak.

Dalam satu kenyataan, Yong berkata dia membuat keputusan itu untuk memberi tumpuan kepada perbicaraan agar dapat membersihkan namanya.

"Selepas membuat pertimbangan secara berhati-hati, saya memutuskan untuk bercuti daripada tugas rasmi sebagai exco kerajaan Perak.

"Saya merasakan perlu meletakkan kepentingan negeri lebih utama berbanding kepentingan peribadi saya, seperti yang telah saya lakukan sepanjang kerjaya sebagai ahli politik.

"Saya akan sampaikan keputusan saya ini kepada Menteri Besar Ahmad Faizal Azumu hari ini," katanya.

Bagaimanapun Yong berkata beliau akan meneruskan khidmat sebagai adun Tronoh seperti biasa.

Pada 23 Ogos lalu, Yong yang juga bendahari DAP Perak mengaku tidak bersalah terhadap dakwaan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di rumahnya di Meru Desa Park pada 7 Julai, antara pukul 8.15 malam hingga 9.15 malam. Mahkamah membenarkan dia diikat jamin sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin.

Dalam pada itu, Yong berkata peguamnya telah diarah untuk menetapkan tarikh perbicaraan seawal mungkin agar dia boleh "dibebaskan daripada kesalahan secepat mungkin".

Sebelum ini Faizal berkata dia akan bertemu Yong dalam masa terdekat bagi membincangkan mengenai kedudukannya sebagai exco.

“Saya belum berjumpa dengannya lagi. Bila dapat jumpa nanti, saya akan bincang kerana saya kira pentadbiran kerajaan negeri perlu kita titik beratkan," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS