Selepas berkali-kali tidak hadir, Presiden PKR, Anwar Ibrahim berharap timbalannya, Azmin Ali, akan muncul dalam mesyuarat pimpinan tertinggi parti itu hari ini.
Bercakap di Kuala Terengganu semalam, Anwar juga membayangkan ada ketikanya Azmin tidak memberikan alasan mengapa beliau tidak hadir dalam mesyuarat parti berkenaan.
Sedangkan, kata Anwar, pertemuan berkenaan adalah penting dan gesaan kepada semua peringkat pimpinan adalah memadai untuk mereka menghadirkan diri.
“Ada kalanya dia (Azmin) hantar dan beri alasan (kenapa tidak hadir).
"Bagi saya, semua pimpinan dikehendaki menghadiri mesyuarat, jadi gesaan itu sudah cukup," katanya seperti dipetik Sinar Online.
Anggota parlimen Port Dickson itu berkata pada hari ini PKR memang mengadakan mesyuarat pelbagai peringkat dari semasa ke semasa.
"Esok (hari ini) kita ada mesyuarat pimpinan tertinggi parti, mesyuarat bulanan dan selang seminggu, mesyuarat biro politik.
"Jadi, semua pimpinan diminta hadir,” katanya.
Terdahulu Anwar menghadiri sesi dialog bersama komuniti dan pertubuhan bukan kerajaan di Kuala Terengganu.
Anwar juga menafikan Azmin kebal daripada sebarang tindakan disiplin. Cuma, katanya, beliau berasakan belum sampai masanya untuk anggota parlimen Gombak itu dikenakan tindakan walaupun tidak menghadiri mesyuarat parti beberapa kali.
Kata Anwar, ada ketika tertentu menteri hal ehwal ekonomi itu memberikan alasan atas ketidakhadirannya.
Anwar juga berkata Lembaga Disiplin PKR perlu mempunyai alasan yang benar-benar kukuh sebelum boleh mencadangkan tindakan diambil mana-mana anggota parti.
“Memang ada dalam peraturan parti, kalau tidak hadir tiga kali mesyuarat berturut-turut tanpa sebab, gugur jawatannya.
"Kadang kala orang cuba beri sebab, jadi lembaga disiplin kena siasat sebab tu betul atau tidak," katanya.
Pada masa sama Anwar berkata, beliau sentiasa positif dan percaya sebagai ttimbalan presiden, Azmin tahu tanggungjawabnya dan akan hadir pada mesyuarat akan datang.
Pada sidang media sama Anwar menafikan wujud kumpulan berbeza dalam parti itu walaupun ia cuba digambarkan sedemikian oleh pihak tertentu, termasuk media.