Paling Popular
Terkini
story images
story images

MIC menyatakan rasa sedih parti itu atas sikap beberapa pemimpin parti rakan baru mereka, PAS, semasa menguruskan isu pendakwah dari India, Dr Zakir Naik.

Presiden MIC, SA Vigneswaran, berkata PAS sepatutnya memberikan nasihat kepada Zakir agar menghormati bangsa lain di negara ini.

"Bukannya menggalakkan dia untuk mengeruhkan lagi keadaan," katanya.

Beliau yang juga kini menjadi Yang Dipertua Dewan Negara berkata demikian semasa menyampaikan ucapan perasmian Mesyuarat Agung Tahunan MIC Ke-73 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur malam tadi.

Hubungan MIC dengan PAS sebelum ini adalah sebagai musuh politik, sesuai kedudukan parti kaum India itu sebagai sebahagian daripada kerajaan BN, sehinggalah PH berjaya menguasai Putrajaya pada Mei tahun lalu.

Sejak itu kedua-dua parti mula bekerjasama, malah pada Mac lalu, Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, menganggap kerjasama mereka seumpama sebuah keluarga.

Kata Abdul Hadi, mereka dipertemukan oleh titik persamaan walaupun berbeza kaum.

Tak bimbang Zakir

Menurut Abdul Hadi kebersamaan PAS, MIC dan Umno bukan perkara baru, malah ketiga-tiga parti terbabit pernah bersama menentang penjajah. 

Hubungan di antara kaum di negara ini semakin panas selepas Zakir membuat ucapan di Kota Bharu mengenai "tetamu lama" dan "tetamu baru" membabitkan bangsa Cina dan India di negara ini.

Zakir - yang dikehendaki New Delhi atas tuduhan jenayah - mendakwa kenyataannya dipetik di luar konteks. Pemimpin PAS pula menyalahkan media atas laporan berkenaan.

Di sebalik dakwaan itu Zakir kemudian meminta maaf atas ucapannya itu. Dia ke Kota Bharu atas jemputan PAS yang menjadi kerajaan di Kelantan.

Zakir juga menafikan beliau terlibat dalam sebarang jenayah seperti didakwa kerajaan India

Menurut Vigneswaran pendirian itu adalah tetap walaupun MIC kini bekerjasama dengan PAS serta Umno.

Sementara itu Vigneswaran berkata MIC tidak bimbang dengan keberadaan Zakir di negara ini selagi dia tidak membangkit isu perkauman.

Sebagai parti pembangkang, kata Vigneswaran, MIC juga tidak berminat untuk mengambil tahu sama ada Putrajaya akan mengekalkan Zakir di negara ini - sebagai pemastautin tetap - atau menghantarnya pulang ke India.

Pada masa sama kata Vigneswaran MIC juga menghormati semua pendakwah dan Islam.


Baca PAS bukan parti radikal


“Kami tidak menentang mana-mana pendakwah. Tidak ada sesiapa menyoal keindahan dan kesucian Islam.

“Apa yang kami mahu ialah, beliau (Zakir) tidak mewujudkan ketegangan perkauman,” katanya.

Tambah Vigneswaran, seseorang yang pergi ke negara asing untuk mendapatkan suaka politik bukanlah sesuatu yang aneh.

Malah katanya ada rakyat Malaysia sendiri pergi ke India atas faktor keselamatan.

“Bagi kami dia (Zakir) sudah meminta maaf. Kami cuma mahu dia jangan menyentuh isu-isu bangsa dan agama lain.

“Nak hantar ke India atau tidak, itu adalah tugas kerajaan," katanya.

Sementara itu, Vigneswaran turut mempertikai tindakan beberapa pemimpin PH yang mendakwa pembelajaran tulisan Jawi diperkenalkan oleh BN.

“Jangan tuduh BN dalam isu Jawi. Keputusan BN memperkenalkan Jawi cuma sekadar dasar sahaja.

“Kalau rakyat tidak menerima, batal saja dasar tersebut. Bukan susah nak tarik balik dasar kerajaan. Ini bukan akta untuk dibawa ke parlimen. Boleh buat dalam kabinet sahaja,” tambahnya.

Menurut Vigneswaran lagi, MIC tidak membantah pembelajaran tulisan Jawi sebaliknya berpendapat ia perlu diberi kefahaman sewajarnya sebelum diperkenalkan.

"Ini (sekarang) bukan masa yang sesuai," katanya.

Untuk rekod mesyuarat agung MIC kali ini turut membincangkan usul meminda perlembagaan parti.

Antara pindaan yang menarik ialah, MIC menerima keanggotaan untuk parti itu seawal usia 16 tahun.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS