Paling Popular
Terkini

Bekas menteri besar Perak, Ir Mohammad Nizar Jamaluddin tewas dalam pemilihan Amanah peringkat kawasan Gopeng, hari ini.

Menurut sumber, Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Rapat itu gagal menempatkan diri dalam kalangan 15 calon anggota jawatankuasa (AJK) kawasan yang menerima undi terbanyak.

"Dalam pemilihan tersebut, seramai 70 orang perwakilan telah menjalankan tanggungjawab sebagai ahli parti, mereka dikehendaki memilih 15 orang AJK daripada 22 orang calon yang bertanding," kata sumber kepada Malaysiakini, hari ini.

Pemilihan Amanah kawasan Gopeng itu berlangsung di Hotel Seri Malaysia, Ipoh dan dirasmikan oleh Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari.

Terdahulu, pengumuman keputusan pengundian selepas selesai proses undian dan pengiraan undi dibuat oleh Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Amanah Perak, Akhiruddin Taib.

Keputusan itu menyaksikan Mohammad Nizar yang juga timbalan pengerusi Amanah Perak gagal mengekalkan jawatannya sebagai AJK Amanah kawasan Gopeng.

Difahamkan, 15 orang AJK yang dipilih rata-rata adalah muka lama yang diberi kepercayaan untuk meneruskan tanggungjawab mengemudi Amanah kawasan itu.

Selepas keputusan diumumkan, 15 AJK baru itu mengadakan mesyuarat untuk melantik ketua, timbalan ketua dan naib-naib ketua Amanah kawasan berkenan.

Susulan itu, penyandangnya Badrin Abdul Khalid berjaya mempertahankan jawatannya sebagai ketua Amanah kawasan Gopeng, manakala Shahari Anuar Ibrahim sebagai timbalan.

Jawatan naib ketua pula masing-masing diisi oleh Mat Razali Abdul Rahman dan Ir Abdul Aziz Omar.



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS