Platform e-hailing milik penuh anak tempatan MyCar hari ini meminta agar kerajaan mengkaji semula keputusan untuk memperkenalkan perkhidmatan teksi motosikal atau Gojek.
Pengasas MyCar Mohd Noah Maideen berkata selain faktor keselamatan dan melanggar norma kesopanan, pengenalan perkhidmatan disediakan syarikat berpangkalan di Indonesia itu juga menimbulkan persaingan tidak sihat kepada syarikat e-hailing tempatan.
"Sebagai syarikat yang baru setahun setengah beroperasi, tak wajar diajak bersaing dengan syarikat luar yang sudah beroperasi lebih lapan tahun.
"Sampai bila kita nak bergantung kepada syarikat luar, terdapat lebih 30 syarikat e-hailing di Malaysia yang dah diluluskan APAD (Agensi Pengangkutan Awam Darat) jadi berilah kami peluang untuk berinovasi," katanya pada sidang media di Petaling Jaya.
Mohd Noah berkata pihaknya juga sentiasa bersedia untuk memberi kerjasama kepada pihak berkuasa untuk menambah baik perkhidmatan dalam usaha mempertingkatkan kemudahan pengangkutan awam kepada masyarakat.
"Kami memang tidak menyokong sebarang perkhidmatan teksi motor, sedangkan Dego Ride (diasaskan oleh pengusaha tempatan) dulu tidak diluluskan kenapa tiba-tiba mahu bawa masuk Gojek pula," katanya yang menyifatkan kejayaan Gojek dipengaruhi sokongan masyarakat Indonesia yang menyokong produk tempatan.
Mengulas mengenai tujuan untuk menambah peluang pekerjaan terutama kepada 'mat motor', Mohd Noah berpendapat terdapat inisiatif yang lebih baik termasuk kerjaya penghantar makanan yang diusahakan aplikasi Food Panda.
"Kerja penghantar makanan juga hanya perlu motosikal dan ia tak melibatkan nyawa penumpang dan isu-isu berkaitan yang lain," katanya.
Kabinet pada Rabu bersetuju dengan cadangan untuk mewujudkan perkhidmatan teksi motosikal, Gojek, dan jemaah menteri memutuskan agar kajian daripada sudut undang-undang dibuat terlebih dahulu sebelum ia boleh dilaksanakan.
Gojek adalah syarikat rangkaian pengangkutan dan permulaan logistik yang berpusat di Jakarta, Indonesia.
- Bernama