Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Peguam Paul Yong minta AG gugurkan pertuduhan
Diterbitkan:  Aug 23, 2019 2:20 PM
Dikemaskini: 6:47 AM

Peguam Paul Yong telah membuat permohonan kepada peguam negara (AG) untuk menggugurkan dakwaan terhadap exco Perak itu dengan mengambil kira satu dakwaan serius yang dibuat Speaker DUN Perak Ngeh Koo Ham semalam.

Ramkarpal Singh berkata, laporan polis yang dibuat Ngeh mengandungi dakwaan serius dan mesti disiasat.

"Ia perlu disiasat secara mendalam. Dakwaan itu baru dibuat semalam. Mustahil untuk peguam negara menyiasat dakwaan itu sebelum (pendakwaan terhadap Yong) hari ini.

Sebab itu pada mulanya kita menggesa timbalan pendakwa raya untuk secara baik hati tidak meneruskan pendakwaan hari ini, dengan mengambil kira dakwaan yang dibuat semalam," katanya.

Semalam, Ngeh membuat laporan polis yang mendakwa individu yang membawa wanita itu untuk membuat laporan polis telah menerima RM100,000, dan telah diugut untuk tidak membocorkan perkara itu.

Ngeh yang juga penasihat DAP Perak menggesa polis menyiasat kemungkinan wujud agenda terhadap Yong.

Pihak pendakwaan bagaimanapun tidak menerima permohonan Yong agar dakwaan terhadapnya ditangguhkan atas sebab telah diarahkan untuk meneruskannya.

Ramkarpal berkata, pihaknya tiada masalah untuk mempertahankan anak guam mereka kerana yakin dakwaan tersebut tidak berasas.

"Jelas bahawa dakwaan berkenaan pembayaran RM100,000 tidak disiasat langsung.

"Kami harap ia disiasat secara terperinci. Jika didapati ia ada asas, pendakwaan terhadap Yong perlu digugurkan," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS