Exco Perak Paul Yong hari ini didakwa atas tuduhan merogol seorang warga Indonesia yang menjadi pembantu rumahnya.
Yong yang merupakan adun Tronoh dari DAP mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu.
"Saya faham (pertuduhan yang dibacakan) tetapi saya tidak pernah melakukannya," kata Yong, setelah juru bahasa membacakan kertas pendakwaan.
Menurut kertas pertuduhan, Yong didakwa melakukan kesalahan itu di rumahnya pada 7 Julai, antara pukul 8.15 malam hingga 9.15 malam.
Mangsa membuat laporan polis berkenaan dakwaan dirogol keesokannya.
Kes tersebut didengar hakim mahkamah sesyen Norashima Khalid di Mahkamah Sesyen Ipoh.
Yong diwakili peguam Leong Cheok Keng yang juga adun Malim Nawar. Anggota Parlimen Jelutong RSN Rayer dan Anggota Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh juga sebahagian daripada pasukan pembelaan.
Pihak pendakwaan pula dianggotai timbalan pendakwa raya Azhar Mokhtar, Ainul Wardah Shahidan dan Naidatul Athirah Azman.
Timbalan Pendakwa Raya memohon Yong dikenakan ikat jamin RM20,000 dengan dua penjamin, namun hakim menetapkan RM15,000 dengan seorang penjamin.
Pengurusan kes ditetapkan pada 24 September ini.
Terdahulu, sejumlah sembilan anggota DAP Tronoh berkumpul di Kompleks Mahkamah Ipoh untuk memberi sokongan kepadanya.
Turut hadir ialah Speaker DUN Perak Ngeh Koo Ham, Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming, exco kerajaan negeri dan Ketua Pemuda DAP Howard Lee, Anggota Parlimen Taiping Teh Kok Lim, dan empat adun DAP Perak iaitu Teoh Yee Chern (Astaka), Chong Zhemin (Keranji), A Sivasubramaniam (Buntong) dan Leow Thye Yih (Pokok Asam).
Dua wakil dari Kedutaan Indonesia di Malaysia turut hadir.
Selepas membayar ikat jamin, Yong dilihat meninggalkan mahkamah pada pukul 11.40 pagi, ditemani isteri dan peguamnya.