Kempen memakai tanjak digerakkan oleh sekumpulan individu akan mewarnai Hari Malaysia pada 16 September ini.
Kempen yang dinamakan 'Hari Tanah Melayu Kembali Bertanjak' itu sebelum ini tular di media sosial.
Ketika dihubungi Malaysiakini, penganjur Nur Ahmad Faiz Mohd Adni, berkata kempen berkenaan bertujuan untuk mengembalikan pemakaian tradisional orang Melayu itu.
"Kempen sehari ini bertujuan untuk mengembalikan pemakaian bertanjak yang dikhuatiri ditelan dek zaman pemodenan," katanya.
Tambah Nur Ahmad, program berkenaan juga tidak terhad kepada orang Melayu saja.
"Sebab saya sendiri ada kawan Cina dan India, jadi mereka sendiri pun suka melihat kempen pemakaian tanjak," katanya.
Tanjak yang juga digelar tengkolok atau destar merupakan pakaian kepahlawanan masyarakat Melayu dan kini dipakai dalam pelbagai acara adat istiadat masyarakat Melayu atau majlis di istana.
Nur Ahmad berkata, setakat ini, kempen berkenaan sudah menerima penyertaan yang menggalakkan.
"Saya mulanya pakai (tanjak) kerana minat. Tak sedar pula kini kempen itu sudah mendapat 25,000 penyertaan," katanya.
Dalam kenyataan di Facebook penganjur juga mengingatkan agar peserta menumpukan pada pembinaan jati diri melalui kempen itu tanpa melibatkan emosi.
"Jati diri Melayu kembali bukan untuk peperangan, tetapi untuk kita kenali diri sebenar, mengakui kelemahan diri dan baiki, tambah ilmu, ubah pemikiran, dan ubah karakter," kata kenyataan itu.