Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Najib salahkan PH punca masalah dihadapi Utusan
Diterbitkan:  Aug 19, 2019 11:35 PM
Dikemaskini: 3:40 PM

Mengaku sedih dan bertambah marah, bekas perdana menteri Najib Razak malam ini menyertai kempen menyelamatkan Utusan Melayu (M) Bhd (Utusan Melayu) yang kini berdepan kekangan untuk terus bertahan sebagai penerbit akhbar harian.

Mencatat di media sosialnya malam ini Najib berkata Utusan Melayu bukan sekadar sebuah syarikat media sebaliknya merupakan simbol dan khazanah orang Melayu serta berkait rapat dengan sejarah negara ini.

Bagaimanapun, tidak seperti kebanyakan orang, Najib meletakkan kesalahan atas masalah dihadapi syarikat tersebut ke pihak PH.

Kata Najib Umno memang mahu membantu syarikat yang menerbitkan akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo! - dan sebelum ini, akhbar Jawi, Utusan Melayu - itu tetapi tidak mampu.

"Akaun bank Umno dibekukan sejak PRU14 oleh kerajaan PH yang zalim ini.

"Dana PRU14 Umno yang berjumlah RM116 juta itu juga telah disita dan dibekukan oleh kerajaan PH," katanya.

Najib yang kini tidak lagi menjadi presiden Umno selepas gagal mengemudi parti itu untuk mendapat mandat sebagai kerajaan menambah, selepas menjalankan siasatan selama setahun, PH gagal membuktikan dana-dana dalam akaun Umno dan dana PRU Umno adalah hasil daripada jenayah.

Mengikut undang-undang, katanya, kerajaan patut menghentikan arahan pembekuan akaun Umno dan memulang semula dana tersebut.

Tetap dekat di hati

"Namun, kerana penindasan politik, mereka mengeluarkan saman sivil untuk terus membekukan dana berkenaan untuk menyusahkan Umno dan saya.

"Utusan (Melayu) turut menjadi mangsa," katanya.

Najib yang kini berdepan puluhan tuduhan pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram mendakwa, Umno sebenarnya boleh menolong Utusan Melayu "esok" hari,

Caranya, kata Najib, ialah dengan PH mengeluarkan arahan agar pembekuan akaun tersebut ditamatkan dan dana Umno dikembalikan.

"Kalau kerajaan PH hentikan arahan membeku akaun Umno dan mengembalikan dana yang mereka sita secara haram hari ini, esok kita akan tolong Utusan.

"Tetapi usahlah nak idamkan kerajaan PH akan bertindak adil. Mereka tak akan peduli," katanya lagi.

Anak perdana menteri kedua Malaysia itu menjelaskan awal Feb lalu Umno menjual kepentingan sahamnya dalam Utusan Melayu.

Hal itu dibuat, katanya, selepas akaun Umno dibekukan oleh kerajaan.

Dengan tindakan tersebut, menurut Najib, Umno tidak lagi mempunyai kuasa mengawal dan menguruskan Utusan Melayu.

"Pun begitu, Utusan tetap dekat dengan hati kita," katanya.

Abdul Aziz 

Untuk rekod pada Feb tahun ini Umno menjual 31.61 peratus pegangannya dalam Utusan Melayu kepada bekas anggota parlimen Kulim Bandar Baharu Abdul Aziz Sheikh Fadzir pada harga RM6.65 juta.

Justeru Najib menggesa "rakyat" tampil untuk menolong syarikat tersebut.

"Belilah senaskah Utusan (Malaysia) atau Kosmo! setiap hari. Layarilah dan kongsikan artikel-artikel dari laman web Utusan.

"Perniagaan yang ada bajet pengiklanan boleh mempertimbangkan untuk membeli ruang iklan di Utusan atau Kosmo!, manakala ahli perniagaan yang memiliki kemampuan seharusnya melihat untuk melabur atau bekerjasama dengan Utusan kerana ia masih mempunyai potensi dan kakitangan yang berpengalaman jika diuruskan dengan sebaiknya," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS