Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Hari ke-54: Najib tak nafi tandatangan pada dokumen siasatan SPRM - saksi

LANGSUNG | Perbicaraan terhadap bekas perdana menteri Najib Razak melibatkan dakwaan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd memasuki hari ke-54 di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur.

Malaysiakini melaporkan secara langsung perbicaraan ini.


5.40 petang - "(DPP V) Sitham (Sithambaram) kata anda (DPP Suhaimi Ibrahim) tidak akan meninggalkan mahkamah sehingga anda selesai."

Kenyataan itu diucapkan oleh hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mohd Nazlan Mohd Ghazali kepada Suhaimi, yang memohon prosiding ditangguhkan esok, yang seterusnya mengundang ketawa hadirin.

Terdahulu, Sithambaram memaklumkan kepada Nazlan agar pihak pendakwaan memastikan pemeriksaannya utama ketua SPRM IO Rosli Hussain hari ini diselesaikan.

Nazlan membenarkan persidangan ditangguhkan esok pada pukul 9 pagi dan meminta Suhaimi menyelesaikan pemeriksaan utama dalam tempoh sejam.


5.10 petang - Pegawai penyiasat SPRM Rosli Hussain memberi keterangan bahawa bekas perdana menteri Najib Razak tidak menafikan apabila disoal siasat SPRM antara 2015 dan tahun lepas berhubung tandatangannya mengenai dokumen yang disiasat dalam siasatan SRC International.

Saksi ke-57 itu berkata demikian semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Suhaimi Ibrahim.

Jelas Rosli Najib tidak menafikan tandatangan pada borang pembukaan akaun bank, surat mandat yang mewakili SRC International Nik Faisal Ariff Kamil untuk menangani akaun Najib, pembatalan kad kreditnya dan cek yang dikeluarkan dari akaunnya.

Media sebelum ini melaporkan bahawa cek berkenaan berjumlah berjuta-juta ringgit pada masa-masa tertentu.

"Najib tidak menafikan bahawa ia adalah tandatangannya pada dokumen itu," kata Rosli.

Terdahulu, Suhaimi menyoal Rosli mengenai dokumen bank yang diperoleh SPRM dalam siasatannya, termasuk dokumen bank mengenai akaun dan transaksi bank Najib.


4.57 petang - Pegawai penyiasatan SPRM Rosli Hussain berkata, Affin Bank, yang turut mempunyai akaun Ihsan Perdana, telah diberikan notis antipengubahan wang haram oleh Bank Negara.

Saksi ke-57 itu memberitahu Timbalan Pendakwa Raya Suhaimi perkara itu semasa pemeriksaan utama, berhubung dengan notis di bawah Seksyen 37 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram.

Di bawah akta itu, Seksyen 37 menyatakan bahawa seseorang pegawai penyiasat boleh, melalui notis bertulis, menghendaki seseorang untuk menyampaikan dokumen atau maklumat, yang didapatinya munasabah untuk mengesyaki ia digunakan dalam melakukan suatu kesalahan.

Rosli berkata demikian sebagai menjawab soalan daripada Suhaimi berkaitan dengan dokumen yang diperolehnya semasa penyiasatan kes SRC International.


4.19 petang - Prosiding diteruskan selepas rehat singkat.


Suasana bertukar lucu

4.01 petang - Suasana perbicaraan yang serius menjadi lucu apabila saksi ke- 57 yang merupakan pegawai penyiasat SPRM, Rosli Hussain meminta untuk berhenti rehat semasa pemeriksaan utama dijalankan oleh pihak pendakwaan.

"Boleh kita berhenti rehat tak?" tanya Rosli ketika DPP Suhaimi Ibrahim ingin menanyakan lebih lanjut mengenai dokumen bank yang diterima oleh SPRM dari AmBank pada tahun lepas.

Ketawa kecil kedengaran apabila DPP V Sithambaram berdiri dan memberi jaminan kepada hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohd Nazlan Mohd Ghazali bahawa pihak pendakwaan akan menamatkan pemeriksaannya pada hari ini.

Nazlan melemparkan senyuman dan kemudian membenarkan rehat selama 10 minit.


SPRM tak jumpa surat asal Nik Faisal kepada Ambank

3.40 petang: Mahkamah diberitahu oleh pegawai penyiasat SPRM, Rosli Hussain bahawa pegawai penyiasat dari suruhanjaya itu tidak dapat mencari surat asal yang dihantar oleh Nik Faisal Ariff Kamil kepada AmBank pada tahun 2014.

Dalam keterangannya beliau berkata SPRM hanya boleh mendapatkan satu salinan surat itu, di mana Nik Faisal sebagai individu yang diamanahkan untuk mengendalikan tiga akaun Najib di AmBank, memberikan kuasa kepada Kee Kok Thiam untuk mendepositkan wang tunai ke dalam akaun-akaun berkenaan.

Menurut Rosli, AmBank telah menyerahkan salinan surat Nik Faisal pada 18 Sept tahun lepas, bersama-sama dengan nota yang menyatakan bahawa bank itu telah menyerahkan salinan asalnya kepada Bank Negara Malaysia pada 6 Julai 2015.

DPP Suhaimi Ibrahim: Adakah kamu tahu apa yang berlaku pada 6 Julai 2015?

Rosli: Pada 6 Julai 2015, Bank Negara telah menyita dokumen dari AmBank Jalan Raja Chulan.

DPP Suhaimi: Jadi, apabila kamu menerima surat (dari AmBank) bersama-sama dengan salinan dokumen (surat Nik Faisal), adakah kamu tahu di mana yang asal?

Rosli: Ia dinyatakan dalam surat (AmBank) bahawa dokumen itu dengan Bank Negara Malaysia

DPP Suhaimi: Adakah kamu cuba untuk mendapatkan yang asal?

Rosli: Terdapat usaha untuk mencari dokumen asal tetapi tidak berhasil, dan kami hanya mempunyai salinan dari AmBank

DPP Suhaimi: Bolehkah kamu jelaskan usaha-usaha untuk mendapatkan dokumen asal?

Rosli: Saya telah meminta Penolong Superitendan Wong mencari dokumen di AmBank, kerana berdasarkan semakan kami dari apa yang kami terima daripada Bank Negara, kami tidak dapat cari yang asal. Usaha kami gagal.


Pegawai SPRM sahkan dokumen diperolehi daripada AmBank

3.15 petang - Mahkamah menyaksikan DPP Suhaimi Ibrahim meneruskan pemeriksaan utama terhadap saksi ke- 57 iaitu pegawai penyiasat SPRM, Rosli Hussain (di atas).

Rosli mengesahkan dokumen perbankan yang diterima badan anti-rasuah itu diperolehi daripada AmBank tahun lepas.

Menurut keterangan Rosli, dokumen itu termasuk arahan pemindahan, resit dan e-mel yang diterima daripada AmBank melalui tiga surat pada 1 Mei, 31 Mei dan 13 Jun 2018.

Dokumen itu berkaitan antara lain, transaksi yang melibatkan akaun bank Najib Razak dengan nombor akhir 906 dan 898, akaun bank Gandingan Mentari Sdn Bhd dan Ihsan Perdana Sdn Bhd.


2.42 petang: Prosiding disambung dengan pemeriksa utama terhadap pegawai penyiasat SPRM, Rosli Hussain oleh Timbalan Pendakwa Raya, Suhaimi Ibrahim.


Perbicaraan disambung jam 2.30 petang

10 pagi - Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohd Nazlan Mohd Ghazali menangguhkan perbicaraan sehingga jam 2.30 petang petang ini.

Hakim berkata ini adalah untuk membolehkan mahkamah mendengar keterangan seorang ahli kimia dalam kes berkaitan dadah pagi ini.

Walaupun peringkat pendakwaan memasuki hari terakhirnya, Nazlan (gambar) yang sedang membicarakan kes jenayah lain hanya memiliki masa setengah hari untuk pendengaran SRC International minggu ini.

Terdahulu, peguam bagi bekas perdana menteri Najib Razak dan pendakwa berjaya meyakinkan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Collin Lawrence Sequerah untuk menangguhkan perbicaraan 1MDB ke Isnin depan.


Najib memasuki mahkamah

9.50 pagi - Tertuduh Najib Razak memasuki mahkamah dan mengambil tempat duduk di barisan depan galeri awam.

Hari ini, pegawai penyiasat SPRM, Rosli Hussain dijangka menyambung semula pemeriksaan utama oleh pihak pendakwaan.

Pendakwa raya dan peguam juga dijangka membincangkan tarikh perbicaraan dengan hakim Nazlan.


Peringkat pendakwaan dalam perbicaraan terhadap Najib Razak berkaitan dakwaan penyelewengan RM42 juta dana SRC International memasuki hari ke-54 dengan pegawai penyiasat SPRM Rosli Hussain akan menyambung keterangannya.

Perbicaraan diteruskan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohd Nazlan Mohd Ghazali susulan perbicaraan berhubung kes 1MDB yang dijadual bermula hari ini ditangguhkan ke Isnin depan.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Collin Lawrence Sequerah membenarkan penangguhan selepas pendakwa utama kes itu, Gopal Sri Ram, menegaskan bahawa peringkat pendakwaan kes SRC hampir selesai.

Difahamkan pihak pendakwaan akan cuba mengulung kes dalam perbicaraan SRC International pada Jumaat minggu ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS