Gerakan Desak Sampai Mansuh (DSM) menggesa Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin menunaikan janji bagi mengkaji Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).
Pengerusi DSM, Mahathir Abdul Rahman berkata, tuntutan itu dibuat kerana keluarga serta tahanan Sosma berharap nasib mereka akan terbela berikutan janji yang dilakukan.
“Kami tuntut kajian dilakukan berkenaan akta zalim (Sosma) ini seperti yang dijanjikan oleh beliau (Muhyiddin) sendiri.
“Tetapi, sehingga tarikh ini, sidang parlimen kedua dan ketiga sudah berlangsung, ura-ura berkenaan Sosma ini akan dimansuhkan langsung tidak kedengaran,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
DSM adalah sebuah NGO yang ditubuhkan selepas kemenangan PH dan dinaungi oleh Syed Ibrahim Syed Noh serta keluarga bekas tahanan Sosma.
Muhyiddin pada Mac lalu berjanji bahawa Sosma dan Akta Perhimpunan Aman (PAA) akan dibahaskan di parlimen pada 'sidang parlimen yang akan datang'.
Bagaimanapun mesyuarat pertama dan kedua sidang parlimen 2019 telahpun berlalu.
Muhyiddin juga pada waktu itu enggan mengulas sama ada undang-undang berkenaan akan dipinda atau dimansuhkan.
Mahathir dalam pada itu berharap kerajaan PH membebaskan tahanan Sosma serta mereka diberi perbicaraan yang adil dalam proses perbicaraan di mahkamah.
“Kami harap PH bebaskan tahanan Sosma melalui pengampunan Yang di-Pertuan Agong kepada tahanan yang telah dijatuhi hukuman, serta diberi perbicaraan yang adil.
“Kesemua ini hendaklah diberikan kepada tahanan yang telah ditahan oleh kerajaan terdahulu, kerana jelas semua ini adalah satu bentuk kezaliman yang nyata,” katanya.
Sementara itu ketika dihubungi Malaysiakini Mahathir berkata seramai 15 ahli DSM hadir ke Mahkamah Rayuan di Putrajaya hari ini bagi menyatakan solidariti terhadap mangsa tahanan Sosma, Mustaza Abdul Rahman.
Difahamkan Mustaza yang merupakan seorang anggota polis di Sungai Petani didapati bersalah di bawah akta tersebut atas kesalahan menyembunyikan maklumat.
“Hari ini kami hadir bagi menyokong Mustaza kerana dia didapati bersalah dan kami berasakan tidak adil baginya,” katanya.