Pulau Pinang mungkin akan menjadi salah satu daripada dua negeri yang mengadakan pilihan raya kerajaan tempatan dalam tempoh tiga tahun, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin.
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sebelum ini menolak idea tersebut. Namun, Zuraida berkata beliau bertanggungjawab untuk meyakinkan perdana menteri bahawa rakyat Malaysia sudah bersedia akan pilihan raya itu.
Beliau berkata sebaik sahaja kabinet bersetuju, pilihan raya tersebut akan dijalankan bermula dari negeri Pulau Pinang dan Selangor yang telah menunjukkan kesediaan untuk mengadakan pemilihan.
Zuraida turut berkata, Dr Mahathir mungkin tidak dimaklumkan lebih lanjut mengenai isu tersebut atau mungkin tidak terdedah dengan dapatan baru atau diberi maklumat yang negatif.
“Sebagai menteri, sudah menjadi tugas dan tanggungjawab saya untuk meyakinkan Dr Mahathir bahawa kita bersedia untuk pilhan raya kerajaan tempatan,” kata Zuraida di forum Pilihan Raya Tempatan: Siapa Untung, Siapa Rugi?
Tambah Zuraida, beliau juga telah bertemu dengan Dr Mahathir untuk menjelaskan bahawa pilihan raya kerajaan tempatan tidak akan mengundang ketegangan kaum kerana rakyat Malaysia sudah menunjukkan kematangan sejak 9 Mei tahun lalu.
"Perubahan kerajaan menunjukkan bahawa rakyat Malaysia cukup matang untuk membuat keputusan yang bijak, mereka bersedia untuk pilihan raya tempatan,” katanya.
Sementara itu, Zuraida menafikan tanggapan yang mengatakan Dr Mahathir membuat keputusan sendiri dalam kabinet.
“Sebagai anggota kabinet, saya jamin bahawa perdana menteri tidak membuat keputusan bersendirian. Kami sentiasa membincangkan sesuatu perkara secara terbuka.
“Kami mempunyai menteri seperti Lim Guan Eng, Gobind Singh dan saya,” katanya.
Zuraida juga cuba menjelaskan kelewatan PH dalam memenuhi janji manifesto pilihan raya termasuk keputusan untuk membenarkan Lynas terus beroperasi.
"Apabila kita melakukan manifesto, kita hanya tahu separuh cerita, jadi kita perlu meniliti kembali dan menyelesaikannya,” katanya.
Turut hadir mengiringi Zuraida adalah exco Pulau Pinang bagi perumahan dan kerajaan tempatan, Jagdeep Singh Deo.
Forum itu dianjurkan oleh Demokrasi Tempatan untuk Kebangsaan (Dekat) yang dimulakan pada April tahun ini dan terdiri daripada beberapa NGO termasuk Forum Pulau Pinang, C4, SaveKL, MyPJ dan Bersih 2.0.
Selain kerajaan Pulau Pinang, acara itu juga disokong oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
Sementara itu, Zuraida berkata kumpulan kerja teknikal kementerian akan bekerjasama dengan pelbagai pihak untuk menyediakan rangka kerja yang sesuai untuk pilihan raya kerajaan tempatan yang dibentangkan dalam tiga tahun bagi mencapai kelulusan kabinet.
"Tiada siapa yang akan rugi jika ia (pilihan raya kerajaan tempatan) dilaksanakan. Walaupun bakal ada masalah kerana ia merupakan satu proses panjang kami akan atasi,” katanya.