Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
TPM jumpa keluarga Nora Anne, polis
Diterbitkan:  Aug 16, 2019 3:20 PM
Dikemaskini: 7:20 AM

Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail hari ini melawat keluarga mendiang Nora Anne Quoirin yang ditemui mati setelah dilaporkan hilang.

Beliau bertemu keluarga itu pagi tadi di resort The Dusun, Nilai, di mana mereka menginap sejak kehilangan remaja Ireland itu.

Menyifatkan kematian Nora Anne sebagai “menyedihkan dan tragis”, Wan Azizah yang juga merupakan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat terlebih dahulu bertemu polis bagi mendapatkan taklimat berhubung kes tersebut.

“Kematian remaja warga Ireland Nora Anne sangat menyedihkan dan tragis.

“Mahu penjelasan menyeluruh, saya kunjungi Balai Polis Pantai, Seremban, untuk mendengar taklimat daripada Ketua Polis Negeri Sembilan Mohamad Mat Yusop,” kata Wan Azizah di Twitternya.

Susulan taklimat yang diterimanya, Wan Azizah dilaporkan berpuas hati dengan operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang memakan masa 10 hari bagi mengesan mendiang.

“Saya telah diberi taklimat mengenai tragedi (tersebut) [...] dan berpuas hati dengan apa yang telah dilakukan pasukan SAR kita dalam usaha mencari mangsa yang hilang ini.

"Siasatan selanjutnya (jika ada) akan diserahkan kepada pihak polis," katanya seperti dipetik Sinar Harian.

Tambahnya lagi, kedutaan Ireland sudah menyatakan kesediaan untuk membantu dalam proses dokumentasi tuntutan mayat Nora Anne.

Remaja Perancis-Ireland itu ditemui mati pada Selasa, setelah dilaporkan hilang pada 4 Ogos selepas dia dan keluarganya mendaftar masuk ke sebuah eko-resort berhampiran Seremban sehari sebelum itu, untuk bercuti dua minggu di Malaysia.

Mayat remaja berusia 15 tahun itu dijumpai di kawasan lurah berhampiran anak sungai kira-kira 2.5 kilometer dari resort penginapan keluarganya.

Pihak berkuasa Malaysia telah melancarkan operasi mencari dan menyelamat besar-besaran untuk mencari remaja itu, bagaimanapun, pencarian itu berakhir dengan kesedihan apabila mayatnya dijumpai pada hari ke-10 operasi.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS