Pendakwah Dr Zakir Naik kini turut mendakwa kenyataannya berkenaan masyarakat Cina di Malaysia sebagai tetamu telah diambil di luar konteks.
Walaupun tidak menafikan petikan kata-kata yang dikaitkan denganya, Zakir berkata kenyataan itu bertujuan memberikan konteks sejarah tentang penyebaran Islam di wilayah ini, serta migrasi orang Cina dan India ke Malaysia.
Beliau berkata kata-kata itu tidak boleh dianggap sebagai seruan agar masyarakat Cina di Malaysia keluar dari negara ini.
Beliau juga berkata kata-katanya itu adalah untuk menjawab seruan oleh individu agar dirinya keluar dari Malaysia. Zakir tidak menamakan individu itu secar khusus, tetapi jelas ia merujuk kepada penulis Anas Zubedy dan pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang.
Kenyataan itu dibuat dalam satu program di Kota Bharu, Kelantan pada 8 Ogos lalu.
Dalam program itu, beliau juga didakwa membuat dakwaan berkenaan sejumlah penganut Hindu di Malaysia yang memilih untuk menyokong Perdana Menteri India, Narendra Modi, berbanding Dr Mahathir Mohamad.
Zakir juga berkata kenyataan itu disalah petik, dan menjelaskan beliau merujuk secara khusus terhadap mereka yang menyokong permohonan India untuk mengekstradisinya.
Berikut ialah kenyataan penuh Zakir, yang diterjemahkan daripada bahasa Inggeris:
Kempen cercaan terhadap saya semakin memuncak dan dibuat atas motif politik. Daripada lapan jam ucapan saya, kali ini pembenci saya mengambil satu lagi hujah di luar konteks untuk memfitnah saya.
Walaupun hadirin acara itu tidak mendapati sebarang unsur perkauman atau komunal dalam ucapan saya, media disuap dengan cerita kebencian dan ketaksuban yang tidak benar.
Malangnya, saya tiada pilihan melainkan mempertahankan diri saya sekali lagi kerana saya tidak boleh biarkan maklumat salah disebarkan tanpa penjelasan.
Ini kali kedua sebuah kenyataan dipetik di luar konteks. Dan ya, teknologi moden membolehkan anda berbuat demikian.
Dikatakan saya berkata orang Cina patut balik ke negara asal. Salah satu tajuk berita malah berbunyi, “Outrage in Malaysia as Zakir Naik suggests Chinese expulsion”. Jika ia memang benar, mengapa media mengambil masa lima hari untuk membangkitkannya.
Ia tidak benar. Berikut sebabnya.
Dalam syarahan saya berkenaan "Salah tanggapan tentang Islam" di Kota Bharu pada 8 Ogos, saya memberi balasan kepada salah faham keempat paling lazim tentang Islam bahawa "Islam disebarkan dengan pedang".
Ini kata-kata saya, dalam konteks penuh:
"Sejumlah 75 peratus orang bukan Islam di India, mereka memberi shahadah, mereka menjadi saksi, bahawa Islam tidak disebarkan dengan pedang.
"Askar Muslim mana yang ke Indonesia yang merupakan negara Muslim terbesar di dunia? Askar Muslim mana yang ke Malaysia? Askar Muslim mana yang ke pantai timur Afrika? Di mana banyak negara, penduduk majoriti ialah Muslim.
Pedang mana? Mereka melakukannya dengan akhlak. Pedagang yang datang. Askar mana yang ke Malaysia? Askar mana yang ke Indonesia? Kebanyakannya, hampir semua, adalah bukan Islam, kemudian hampir semua menjadi Muslim, MasyaAllah.
"Dan kemudian, lebih ramai yang datang selepas itu. Malaysia menjadi Muslim sepenuhnya. Kemudian Cina datang, India datang, orang Inggeris (British) datang. Mereka adalah tetamu baru kita. Kamu tahu tak yang ada orang yang panggil saya seorang tetamu? Jadi saya kata, 'sebelum saya (datang), kaum Cina adalah tetamu'.
Mereka tidak lahir di sini. Jika kamu mahu tetamu baru keluar, minta tetamu lama pulang dulu. Kaum Cina, kebanyakan dari mereka tidak lahir di sini, mungkin generasi baru, ya (lahir di sini). Jika kamu mahu tetamu itu pulang, dan tetamu lain yang membawa keamanan dalam komuniti, mereka (tetamu itu) membawa manfaat kepada keluarga itu."
Ketika membalas dakwaan bahawa Islam disebarkan dengan pedang, saya memberi bukti sejarah bahawa di hampir semua bahagian di dunia, Islam disebarkan melalui penyebaran idea dan akhlak yang baik, dan bukan dengan pedang.
Ini termasuk Malaysia, di mana kebanyakan penduduk dulu bukan Muslim, dan kemudian menjadi Muslim. Pada masa itu hampir semua orang di Malaysia adalah Muslim. Kemudian kaum Cina, India dan lain-lain berhijrah ke Malaysia.
Kekecohan ini dibangkitkan oleh seorang warga Malaysia yang memanggil saya sebagai "tetamu" dan meminta saya meninggalkan Malaysia. Seorang ahli politik Cina yang berpengaruh setuju dengannya dan menyuarakan sokongan terhadap perkara itu.
Siapa dia untuk minta saya pergi? Dalam jawapan saya terhadapnya dan sesiapa yang menyokong kenyataannya, saya berkata, "Jika kamu mahu tetamu baru keluar, minta tetamu lama pulang dulu."
Ini adalah satu tempelak kepada hujah falasinya bahawa sebagai tetamu saya perlu meninggalkan perkara ini. Saya juga tak pernah cadangkan agar orang Cina meninggalkan negara ini. Saya hanya menunjukkan kelemahan hujahnya dengan mengingatkannya bahawa dia juga "tetamu" seperti saya.
Bagaimana ia bermakna satu cadangan untuk "pengusiran orang Cina" seperti yang didakwa pembenci saya?
Dalam kenyataan susulan, saya juga dengan jelas mengatakan mana-mana "tetamu" yang membawa keamanan kepada negara perlu digalakkan untuk tinggal di sini, sama ada Cina atau India atau warga negara lain. Bagaimana jawapan saya kepada orang Cina yang menyokong pengusiran saya membuatkan saya bersifat perkauman terhadap mereka?
Saya adalah seorang yang mempunyai misi menyebarkan kebenaran dan keamanan. Tetapi beberapa pencetus kebencian, dengan agenda politik, mahu mengganggu misi saya, dan cuba berbuat demikian dengan menyalah petik kata-kata saya dan mereka-reka maklumat terhadap saya. Malangnya, sejumlah Muslim menjadi mangsa penipuan mereka.
Allah berfirman, "Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan." (Al-Quran, surah Al-Hujurraat:6)
Permintaan saya kepada rakyat Malaysia dan media, sama ada Islam atau bukan Islam, adalah untuk mengesahkan maklumat yang diterima - dan konteksnya - sebelum mempercayainya atau menyebarkannya. Jangan percaya membuta-tuli setiap sumber maklumat yang anda temui - termasuk kenyataan saya - tanpa mengesahkan kebenarannya.
Kebanyakan syarahan saya boleh diikuti di YouTube dan media sosial. Saya amat hargai jika anda mendengar program atau syarahan penuh saya, berbanding mendengar klip-klip pendek, sebelum membuat keputusan.
Hampir semua orang bukan Islam yang menonton syarahan penuh saya, sama ada di India, Malaysia atau di tempat lain, menghormati dan menghargai kerja saya, Alhamdulillah.
Jika orang bukan Islam di Malaysia mendengar sebahagian - kalau pun tidak semua - syarahan penuh saya, saya pasti mereka juga akan menghargai kerja saya dan menyokong misi saya.
Berita berkaitan
Suruh ‘tetamu lama’ Cina balik dulu - Zakir Naik
'Tetamu lama Cina': Meleraikan dakwaan 'putar belit' kenyataan Zakir Naik