Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Exco Negeri Perak, Abdul Yunus Jamhari menafikan rakaman audio panggilan telefon mendakwa beliau cuba menyelesaikan kesnya yang sedang disiasat polis dan SPRM berkaitan tuduhan meminta komisyen daripada dua syarikat supaya meluluskan permohonan tanah milik kerajaan berkeluasan 93 ekar.

Yunus yang juga pengerusi jawatankuasa kemudahan awam, infrastruktur, pertanian dan perladangan negeri berkata audio yang ditularkan di media sosial itu tidak benar. 

"(Audio itu) palsu," kata Yunus kepada Malaysiakini.

Klip audio itu juga mendakwa pembantu Yunus cuba berunding dengan seorang pegawai polis.

Adun Kuala Krau itu diminta mengulas penyebaran audio tersebut yang hangat dikalangan anggota PKR.

Bagaimanapun, kata Yunus laporan polis berkaitan penularan audio tersebut masih lagi belum dibuat.

Untuk rekod, pada 13 Julai lalu, bekas pegawai khas exco Perak itu, Beh Yong Kean membuat laporan polis berkenaan dakwaan Abdul Yunus berniat memberi sokongan kepada permohonan dua syarikat itu dengan komisyen sebagai pertukaran.

Klip audio tiada laporan polis

Dakwa Beh, exco itu membocorkan minit mesyuarat kerajaan negeri kepadanya agar dia dapat memulakan proses rundingan dengan dua syarikat itu.

Abdul Yunus telah menafikan dakwaan tersebut, berkata ia konspirasi jahat untuk membunuh kerjaya politiknya kerana pendiriannya menyokong Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali pada pemilihan parti yang lalu.

Dalam mesej audio perbualan telefon yang turut dihantar kepada Malaysiakini itu, pemanggilnya memperkenalkan diri sebagai pembantu exco Yunus dan dikatakan bercakap dengan seorang pegawai polis untuk cuba membantu menyelesaikan kes tersebut.

Turut kedengaran dalam klip audio berdurasi 1.14 minit itu, pemanggilnya memberitahu bahawa kes tersebut dengan SPRM sudah 'kautim'.

Ketua Polis Perak, Razarudin Husain ketika dihubungi Malaysiakini kemudian memaklumkan masih tidak menerima sebarang laporan polis berkenaan mesej audio itu.

"Kita tak terima apa-apa laporan," katanya kepada Malaysiakini.

Bagaimanapun, Razarudin berkata tuduhan exco itu meminta komisyen daripada dua syarikat berkenaan permohonan tanah masih dalam siasatan polis dan SPRM.

Malaysiakini sudah menghubungi SPRM untuk mendapatkan penjelasan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS