Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Polis akan soal siasat Zakir Naik, Dong Zong, taikun
Diterbitkan:  Aug 15, 2019 8:57 PM
Dikemaskini: 12:57 PM

Pihak polis akan memanggil pendakwah kontroversi Zakir Naik, pengasas Gamuda Bhd Koon Yew Yin dan Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) untuk disoal siasat.

Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin memaklumkan perkara berkenaan pada suatu kenyataan media hari ini, berkata tindakan ini susulan laporan polis yang dibuat terhadap mereka.

"Saya ingin menarik perhatian terhadap kecenderungan pelbagai pihak menyebarkan berita-berita palsu serta mengeluarkan kenyataan yang berbaur perkauman sejak kebelakangan ini, tanpa mengambil kira sensitiviti rakyat berbilang bangsa di negara ini.

"PDRM sedang mengambil tindakan tegas dalam perkara ini dan akan memanggil Dong Zhong, Koon Yew Yin dan Zakir Naik untuk disoal siasat.

"Langkah ini ekoran beberapa laporan polis telah dibuat ke atas mereka dan siasatan sedang pun dijalankan," katanya.

Menurut Muhyiddin beberapa individu lain juga telah dipanggil dan ada juga yang sedang dipantau pihak polis.

Jelasnya, tindakan lanjut akan diambil termasuk mendakwa mereka yang terlibat.

"Setakat ini, beberapa individu lain juga telah dipanggil untuk disoal siasat dan ada yang sedang dalam pemerhatian PDRM.

"Tindakan selanjutnya akan diambil termasuk mendakwa mereka yang terlibat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan jika terdapat bukti yang mencukupi," katanya lagi.

Seksyen 504 Kanun Keseksaan berkaitan kesalahan dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak memecahkan keamanan, yang membawa hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Bantahan Dong Zong terhadap pengenalan tulisan Jawi dalam sukatan pelajaran Bahasa Malaysia darjah empat di sekolah vernakular Cina telah mendapat kritikan sesetangah pihak.

Bagaimanapun, persatuan itu telah menerima pengumuman terbaru Kementerian Pendidikan bahawa tulisan Jawi hanya akan diajar di sekolah-sekolah vernakular jika Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bersetuju dengan pembelajarannya.

Kementerian juga berkata akan mengadakan rundingan secara lebih luas sebelum mengeluarkan kenyataan lanjut.

Sementara itu, Koon pula mengkritik tentera, mengatakan ramai anggota pasukan itu hanya "makan dan tidur" serta sejak itu, telah pun meminta maaf atas kenyataannya.

Mengenai Zakir Naik, ketika mengulas pertuduhannya di India, pendakwah terkenal itu berkata rakyat Malaysia beragama Hindu lebih menyokong kerajaan India berbanding Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Zakir juga telah membuat beberapa kenyataan mengenai orang Cina Malaysia memanggilnya sebagai "tetamu lama" .

Zakir mendakwa kenyataannya mengenai rakyat Malaysia Hindu telah dipetik secara salah. Bagaimanapun, pendakwah itu belum memberi maklum balas mengenai kenyataannya mengenai rakyat Malaysia Cina.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS