Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PH: Ketepi retorik rosak perpaduan
Diterbitkan:  Aug 15, 2019 5:16 PM
Dikemaskini: 9:16 AM

Rakyat Malaysia perlu mengenepikan retorik yang merosakkan negara, gesa pemimpin utama empat parti gabungan Pakatan Harapan hari ini.

Gesaan tersebut dibuat dalam suatu kenyataan yang ditandatangani Presiden PKR Anwar Ibrahim, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden Amanah Mohamad Sabu.

"Mutakhir ini pelbagai isu menjadi perbualan rakyat Malaysia. Dari cabaran ekonomi, kepada persoalan persepsi kaum atau agama, kepada pendidikan khat, kepada isu pembangunan amnya - rakyat Malaysia kini jelas lebih mudah menyuarakan pandangan melalui media sosial mahupun media arus perdana.

"Semua rakyat Malaysia, tidak kira pangkat mahupun latar belakang, perlu sentiasa memupuk perpaduan dan meningkat persefahaman sesama kita.

"Kita perlu ketepikan retorik yang merosakkan perpaduan. Kita perlu sanggah polemik yang berniat membinasakan negara.

"Kita perlu menolak politik yang hanya mementingkan kelompok kecil dan bukannya kemaslahatan umum," kata kenyataan itu.

Kenyataan pemimpin utama PH ini dikeluarkan di tengah-tengah beberapa isu kontroversi yang menyentuh hubungan antara kaum di Malaysia, antaranya isu pengenalan tulisan Jawi dalam sukatan pelajaran Bahasa Malaysia Darjah Empat di sekolah vernakular Cina dan Tamil.

Menurut kenyataan itu lagi, sebagai sebuah negara majmuk keharmonian dan kerukunan hidup antara kaum di negara ini perlu dipelihara.

"Malaysia, sebuah negara yang majmuk amat memerlukan keharmonian dan kerukunan hidup antara satu sama lain.

"Rakyat Malaysia yang terdiri dari pelbagai kaum, agama dan budaya, maka kepelbagaian ini semestinya dipertahan dan dihormati oleh semua lapisan masyarakat.

"Kami percaya rakyat Malaysia kesemuanya cintakan keamanan dan keharmonian untuk terus bersama menikmati hidup dalam suasana aman," kata kenyataan itu lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS