Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hanya umat Islam munafik setuju halau Zakir Naik - Nik Abduh
Diterbitkan:  Aug 15, 2019 4:47 PM
Dikemaskini: 8:48 AM

Anggota Jawatankuasa (AJK) Pusat PAS, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz menyifatkan hanya umat Islam yang munafik sahaja yang bersetuju menghalau pendakwah Islam tersohor Dr Zakir Naik dari Malaysia

Manakala, kata anggota parlimen Bachok itu, mana-mana golongan bukan Islam yang mahu menghalau Zakir Naik adalah musuh agama itu.

“Tiada Muslim yang gembira dan menyetujui Dr Zakir Naik dihalau keluar dari negara ini kecuali dia adalah munafik dan berdosa besar.

“Tiada bukan Muslim yang berusaha menghalau Dr Zakir Naik keluar dari negara ini kecuali dia adalah musuh umat Islam.

“Siapa pun yang menyokong tindakan musuh Islam terhadap umatnya, dia adalah tali barut,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.

Kenyataannya itu dipercayai dibuat sebagai respons kepada reaksi kurang senang pelbagai pihak terhadap kenyataan Zakir Naik pada syarahan di Kelantan, Khamis lalu.

Dalam program tersebut, Zakir Naik dilaporkan berkata, pihak yang mahu dia keluar dari Malaysia, haruslah meminta ‘tetamu lama’ pulang terlebih dahulu- yang dirujuknya kepada kaum Cina di negara ini.

Pada majlis sama, dia turut dilaporkan mengeluarkan kenyataaan yang menghina penganut Hindu yang menurutnya lebih percaya dengan perdana menteri India berbanding Malaysia.

Bagaimanapun, Zakir Naik berkata dia disalah petik, dan menjelaskan bahawa kenyatanannya itu merujuk beberapa kumpulan Hindu yang memilih untuk menyokong kerajaan Modi dalam permintaan ekstradisinya walaupun menurutnya tiada bukti terhadap dirinya.

Antara personaliti politik yang menyelar kenyataan Zakir Naik ialah Rafidah Aziz, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Lim Kit Siang, Dr Xavier Jayakumar, Gobind Singh Deo dan M Kulasegaran.

Tambah Nik Abduh lagi, haram hukumnya jika seorang Muslim menzalimi saudara seagamanya dan haram juga jika membiarkan saudara seagamanya dizalimi.

“Setiap Muslim adalah bersaudara. Haram ke atasnya menzalimi saudaranya sendiri dan haram ke atasnya membiarkan saudaranya itu dizalimi oleh sesiapa pun.

“Tiada kejuaraan sebenar kecuali kejuaraan perjuangan menegakkan kalimah Allah di dalam diri dan tanah air,” katanya lagi.

Sementara itu, pihak polis mengesahkan telah membuka kertas siasatan ke atas Zakir Naik.

Siasatan dilakukan bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan, kerana mengeluarkan kenyataan yang dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak memecahkan keamanan.

Selepas siri jelajahnya di Kelantan minggu lepas, Zakir Naik akan terlibat dalam acara di Perlis pula selama tiga hari bermula esok 16 Ogos sehingga 18 Ogos ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS